KL CHRONICLE: @f_kedaulatan : Hukuman Mati atau Penjara Seumur Hidup Buat Penceroboh Lahad Datu

Tuesday, July 26, 2016

@f_kedaulatan : Hukuman Mati atau Penjara Seumur Hidup Buat Penceroboh Lahad Datu



Tahun 2013 menjadi igauan buat Malaysia apabila kedaulatannya dicabar oleh penceroboh di Lahad Datu, Sabah. Air mata ahli keluarga anggota keselamatan yang gugur mungkin belum kering namun pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara tidak akan padam sampai bila-bila.

Sementara pesalah-pesalah yang terlibat di dalam misi pencerobohan terbabit berjaya diheret ke muka pengadilan.


Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mendapati 13 daripada 14 tertuduh, yang telah memberi keterangan membela diri masing-masing dalam kes pencerobohan Lahad Datu, bersalah.

Sembilan daripada mereka termasuk Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, anak kepada lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Esmail Kiram, didapati bersalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan denda.

Memetik laporan Bernama, lapan yang lain ialah warganegara Filipina Atik Hussin Abu Bakar, 45, Basad H. Manuel, 41, Ismail Yasin, 76, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam  Patulada, 52, Salib Akhmad Emali, 63, Al Wazir Osman, 61, Tani Lahaddahi, 63, dan Julham Rashid, 69.

Kesemua 12 warga Filipina dan seorang penduduk tempatan sebelum ini ditahan mengikut Akta Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Hian Guan dalam penghakimannya membebaskan seorang tertuduh warga Filipina iaitu Basil Samiul, 35, yang sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Hari ini, mahkamah sama akan mendengar rayuan sebelum dijangka menjatuhkan hukuman terhadap semua tertuduh. Ia termasuk lima lagi tertuduh yang sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget