KL CHRONICLE: SPAD Bentang Kertas Kerja Akhir Isu Grabcar, Uber Kepada Kabinet Tahun Ini

Monday, May 23, 2016

SPAD Bentang Kertas Kerja Akhir Isu Grabcar, Uber Kepada Kabinet Tahun Ini



#KLChronicle : Syabas dan Tahniah diucapkan kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) yang terus mengambil berat akan kebajikan pemandu - pemandu teksi di negara ini. Menyedari bahawa pemain - pemain baru seperti Uber dan GrabCar kini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, SPAD akan membentangkan satu kertas kerja kepada Kabinet berkaitan isu ini dan seterusnya menunggu keputusan dari kerajaan. 



Bagi kami di #KLChronicle, langkah yang diambil oleh SPAD ini tepat pada masanya. Ini kerana pada waktu ini, Uber dan Grabcar sudah berjaya menarik jumlah penumpang yang sangat tinggi berikutan servis mereka yang efisien dan mesra pelanggan. Ini berbeza pula dengan sikap pemandu teksi yang rata - rata berlagak seperti samseng dan ramai yang tidak menggunakan meter ketika mengambil penumpang. 

Namun begitu, pemain - pemain Uber dan Grabcar perlu diletakkan dibawah undang - undang supaya tidak ada sebarang kes yang tidak diingini berlaku. Kini, mereka bebas beroperasi tanpa sebarang pemantauan dan ini mungkin membahayakan penumpang. Ini berdasarkan insiden kes rogol di India dan beberapa negara lain yang dilakukan oleh pemandu Uber. Sudah pastinya kita tidak mahu ini berlaku di Malaysia. 

Apa pendapat pembaca? Adakah anda setuju jika Uber dan Grabcar dijadikan satu mode operasi pengangkutan awam darat yang sah disisi undang - undang?

Keratan akhbar berita BERNAMA

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan membentangkan kertas kerja akhir kepada Kabinet berhubung isu perkhidmatan teksi GrabCar dan Uber dalam tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata kertas kerja peringkat pertama telah dihantar untuk disemak Unit Perancang Ekonomi.

"Sebagai perlindungan kepada pengangkutan awam darat, kami hendak tentukan bila kerajaan buat keputusan, mesti ada Prosedur Operasi Standard (SOP)... perlu adil.

"Oleh itu, kita bentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi beberapa idea dan cadangan yang perlu dilaksanakan kalau kita hendak menerima pemain-pemain lain (GrabCar dan Uber) dalam industri (perkhidmatan teksi) ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu SPAD Wilayah Selatan di Menara MSC Cyberport, di sini Ahad.

Syed Hamid berkata pihaknya memerlukan masa untuk melihat perubahan undang-undang selain perlu mempertimbangkan beberapa usaha bagi melaksanakan perkhidmatan teksi yang dikehendaki orang ramai dan pengendali teksi.

Sementara itu, Ketua SPAD Wilayah Selatan Amshida Ahmad Rani dalam ucapannya berkata pejabat baharu SPAD yang terletak di nombor 5, Jalan Bukit Meldrum, Level LG, Menara MSC Cyberport sudah beroperasi sejak 1 Jan lepas.

"Sebanyak 12 kaunter disediakan kepada pelanggan untuk memudahkan urusan seperti permohonan lesen baharu, memperbaharui lesen, menukar syarat permit, pengeluaran kad pemandu dan memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS)," katanya.

Pejabat SPAD berkenaan beroperasi lima hari seminggu iaitu 8.30 pagi hingga 4.40 petang pada Ahad hingga Rabu dan 8.30 pagi hingga 3.30 petang pada Khamis.

-- BERNAMA

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget