KL CHRONICLE: Lagi pegawai kerajaan ditahan oleh SPRM kerana Rasuah #Bauksit

Friday, January 8, 2016

Lagi pegawai kerajaan ditahan oleh SPRM kerana Rasuah #Bauksit



Empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan, Pahang ditahan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen di negeri ini, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.


Nilai wang rasuah yang terlibat ialah RM100,000, kata pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Azam Baki.

Rasuah disyaki diperoleh melalui penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong tidak berlesen.


Antara yang ditahan ialah seorang pegawai penguat kuasa kanan, Azam memberitahu satu sidang media di pejabat SPRM Pahang.

Empat individu itu, berusia antara 30 dan 38 tahun, disyaki melindungi kegiatan haram pelombong tersebut daripada diambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap mereka.

Mereka ditahan di rumah mereka sekitar Kuantan dalam operasi selama tiga jam yang berakhir jam 9 malam tadi.

"(Dalam serbuan itu) kami mendapati sejumlah besar wang tunai disembunyikan dalam mesin basuh pegawai kanan itu, dipercayai wang rasuah," kata Azam.

Rasuah itu dibayar melalui penjualan Borang 13D itu, juga dikenali sebagai "docket", yang dikeluarkan PTG kepada pelombong, katanya.

Borang yang boleh didapati dengan harga RM1 setiap satu itu dijual kepada pelombong haram dengan harga antara RM150 dan RM200 setiap satu.

"Borang itu diperlukan setiap pemandu lori semasa memindahkan bauksit ke stok tapak simpanan," kata Azam.

Azam berkata, pegawai SPRM juga mendapati timbunan borang 13D dalam kereta suspek.

Borang-borang itu mengandungi maklumat mengenai jumlah tanah yang dibenarkan dibawa sebuah lori bagi setiap perjalanan dan memerlukan tandatangan pegawai tanah dan galian.

Setiap borang hanya sah untuk satu perjalanan sahaja.

"Jadi, pemandu lori perlu satu 'docket' untuk setiap perjalanan. Katakan seorang pelombong mempunyai 20 buah lori, dia memerlukan 20 'docket' bagi setiap perjalanan," kata Azam.

Menjadi satu kesalahan sekiranya pemandu lori itu gagal mengemukakan docket itu apabila diminta atau ditahan unit penguatkuasaan tanah dan galian.

"Dalam kes ini, amalan rasuah yang didakwa ini berlaku di pejabat apabila pelombong haram pergi untuk membeli docket yang berharga RM1 itu pada harga antara RM150 dan RM200," katanya.

Beliau berkata, borang itu membantu pelombong haram melepaskan diri dari "diganggu" pegawai penguat kuasa.

SPRM juga mendapati, terdapat lebih 200 pelombong bauksit haram di Pahang, kata Azam.

SPRM semalam berkata, ia menemui unsur rasuah dalam industri perlombongan bauksit Pahang.

Azam hari ini juga berkata agensi anti-rasuah itu sedang menyiasat kekurangan dalam jumlah royalti perlombongan bauksit yang diterima kerajaan negeri tahun lalu.

Semua 4 individu itu kini ditahan reman seminggu bermula hari ini mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

SPRM dalam satu kenyataan juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan susulan dan mengakui mempunyai maklumat berkaitan pihak terbabit.

"SPRM berharap semua pihak termasuk masyarakat setempat bertanggungjawab memastikan isu aktiviti perlombongan bauksit tidak terkawal ini dapat diatasi, serta segala kerosakan yang berlaku dapat diperbaiki semula," katanya. – 7 Januari, 2016.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget