KL CHRONICLE: Dr Mahathir puji langkah PM @NajibRazak selamatkan MAS

Saturday, December 26, 2015

Dr Mahathir puji langkah PM @NajibRazak selamatkan MAS


Tun Dr Mahathir Mohamad memuji Datuk Seri Najib Razak selepas pengumuman suntikan RM6 bilion Khazanah Nasional Bhd ke dalam Malaysia Airlines (MAS) Jumaat lalu.

Dalam temuramah dengan Mingguan Malaysia hari ini, Dr Mahathir memuji pentadbiran perdana menteri.



"Khazanah sudah memperuntukkan dana RM6 bilion dan memberhentikan 6,000 pekerja. Maka kos (operasi) turunlah.

 "Pemberhentian penerbangan ke tempat yang tidak ramai penumpang juga boleh mengurangkan kos. Saya ucap tahniah," kata bekas perdana menteri itu dipetik akhbar itu.
Mengenai hasil dan keberkesanan langkah yang diumumkan kerajaan, Dr Mahathir mengambil pendekatan tunggu dan lihat ke atas usaha pemulihan tersebut.

"Kita tunggu dan lihat keberkesanan langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan juga Khazanah," katanya.

Di bawah pelan pemulihan MAS yang diumumkan Khazanah Nasional baru-baru ini, syarikat penerbangan itu akan mengurangkan 6,000 (30%) daripada 20,000 pekerja, dan memindahkan ibu pejabat dan operasi utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengurangan pekerja besar-besaran itu ekoran kerugian MAS sekurang-kurangnya RM3 juta sehari bagi separuh pertama tahun kewangan semasa.

Kerugian semakin bertambah selepas dua tragedi pesawatnya, iaitu kehilangan MH370 pada Mac lalu dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.

Pelan penstrukturan semula MAS itu mendapat kelulusan kabinet dan Lembaga Pengarah MAS, bertujuan mewujudkan sebuah entiti lebih kukuh dan cekap.

MAS yang menggantung dagangan pada Khamis lalu berikutan pengumuman pelan itu, melaporkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM302.62 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2014, daripada kerugian sebanyak RM165.89 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Saham MAS terakhir diniagakan pada 25 sen Khamis lalu.

Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan kepada pentadbiran Najib dan menyifatkan prestasinya lebih buruk daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

1 comment:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget