KL CHRONICLE: 2 Ahli PAC dari @dapmalaysia tak guna

Saturday, December 19, 2015

2 Ahli PAC dari @dapmalaysia tak guna


Dua ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibidas kerana mengeluarkan apa yang disifatkan sebagai kenyataan mengelirukan mengenai sesi jawatankuasa itu dengan seorang pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam.



Ahli PAC Datuk Liang Teck Meng berkata walaupun pengerusi jawatankuasa itu adalah satu-satunya individu yang layak memberikan kenyataan mengenai sesi PAC dan 1MDB, namun 2 ahli yang tidak dinamakan itu  mengetepikan persefahaman yang dipersetujui bersama itu.

"Kerana sebab-sebab yang tidak dapat saya jelaskan, 2 rakan saya dalam PAC mendapati mereka layak membuat kenyataan selepas sesi PAC semalam, yang mengelirukan dan bertujuan menimbulkan prejudis dalam kalangan orang ramai berhubung prosiding PAC.


"Nampaknya, orang berkenaan lebih berminat untuk mempolitikkan prosiding itu daripada mencari kebenaran tentang perkara yang kami siasat," kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam kenyataan hari ini.

Liang berkata beliau kecewa dan sedih dengan tingkah laku kedua-dua ahli PAC berkenaan.

Sebagai contoh, katanya, adalah tidak benar presiden 1MDB Arul Kanda, yang menghadiri sesi itu semalam, tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya.

"Sepanjang sesi 3 jam semalam dan sesi 5 jam sebelum ini bersama Arul, hanya 1 soalan yang beliau pilih untuk tidak menjawabnya secara penuh kerana ia mempunyai kaitan dengan 1 dakwaan melalui media...mengenai perkara yang berkaitan dengan 1 pihak luar," katanya.

Liang berkata pemberian maklumat secara berpilih dan sebahagian sahaja 2 ahli PAC itu tidak memberi gambaran sebenar dan adil tentang apa yang berlaku semasa prosiding semalam.

"Pada pendapat saya, maklumat yang dikeluarkan secara terpilih itu dilakukan untuk mempolitikkan prosiding ini sekali lagi, dan sekali lagi mengelirukan orang ramai serta mewujudkan prejudis terhadap prosiding kami," katanya.

Sekiranya perbuatan tidak mengendahkan peraturan PAC dan sengaja mewujudkan prejudis terhadap prosiding jawatankuasa itu terus dilakukan dengan sewenang-wenangnya, Liang berkata tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan itu.

 "Malah, pertimbangan patut dibuat untuk merujuk mereka kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen," katanya. – Bernama, 19 Disember, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget