KL CHRONICLE: Peguam Negara Jelaskan Mengapa Dakwaan Terhadap Ali Tinju digugurkan

Thursday, November 12, 2015

Peguam Negara Jelaskan Mengapa Dakwaan Terhadap Ali Tinju digugurkan



Dakwaan hasutan terhadap Mohd Ali Baharom digugurkan kerana pihak polis tidak berjaya mendapatkan rakaman audio kata-kata kesat yang diucapkan bekas askar itu, di luar Plaza Low Yat, pada Julai lalu, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.



Mengulas keputusan beliau yang rata-rata menerima kecaman itu, Apandi berkata tanpa bukti, beliau tidak dapat meneruskan kes itu.

"Rakaman sebenar dalam kes ini tidak lengkap, hanya beberapa saat... Kita terlepas bahagian yang 'menghasut' itu," Apandi memberitahu The Malaysian Insider dalam satu temu bual baru-baru ini.


"Mereka (polis) tidak dapat mencarinya. Ia tidak akan datang. Saya sudah beritahu mereka, 'Ini tidak mencukupi. Pergi cari lagi.' Mereka kata, mereka tidak dapat mencarinya. Jadi, itulah akhirnya."

Ditanya sama ada beliau mengesyaki pihak polis tidak menjalankan tugas mereka dengan berkesan, Apandi berkata, "Saya tak tahu tentang itu. Pergi tanya kepada mereka."

Ali, juga dikenali sebagai Ali Tinju, ialah presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu.

Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan pada 16 Julai.

Beliau didakwa berkata: "Okay, kita mahu keadilan. Ini maruah orang Melayu, bukan kerana seorang budak Cina menyerang ramai orang Melayu. Ini negeri Melayu. Bersatu dan serang Cina DAP yang biadap itu."

Ali didakwa berkata demikian semasa rusuhan di luar Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di ibu kota Kuala Lumpur pada Julai.

Keputusan menggugurkan kes itu mencetuskan bantahan daripada ahli politik pembangkang, malah juga pemimpin MCA, yang menuntut sama ada perkara itu dikaji semula atau diberi penjelasan.

Ia juga menimbulkan khabar angin yang peguam negara menjalankan amalan "double-standard" dalam perkara itu tetapi Apandi menafikannya.

"Setakat yang saya tahu, saya, sebagai pendakwa raya, kami akan meneliti apa sahaja yang disampaikan kepada saya, iaitu daripada IP itu. Daripada IP itu, saya dapati tidak terdapat bukti yang mencukupi.

"Ia membuatkan keadaan jadi sukar. Saya tidak melihat orang ini sebagai 'Ali Tinju', saya tidak kenal pun dia. Tetapi jika tidak ada bukti yang cukup, memang tidak adalah bukti yang cukup," kata Apandi.

Katanya, sebagai pendakwa raya, beliau mempunyai budi bicara mutlak untuk meneruskan sesuatu kes dan menafikan dipengaruhi mana-mana pihak.

"Saya tidak mendengar (arahan) sesiapa, walaupun eksekutif. Saya tidak mendengar kepada anda, saya tidak mendengar kepada pembangkang, saya tidak mendengar kepada sesiapa pun.

PETIKAN DARIPADA WAWANCARA

TMI: Keputusan anda menggugurkan dakwaan hasutan terhadap Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu Mohd Ali Baharom (Ali Tinju) agak mengejutkan. Dalam perkembangan yang sama, ramai ahli politik pembangkang dan pengkritik kerajaan yang didakwa menghasut.

APANDI: Bukti-buktinya tidak ada. Teks penuh rakaman, rakaman video. Untuk membawa kes ke mahkamah, anda tidak boleh hanya mempunyai 'oh, seseorang merakamkannya'. Anda mesti merakamkan kenyataan orang yang merakamkannya.

Rakaman sebenar dalam kes ini tidak lengkap, hanya beberapa saat, ia tidak mencukupi. Ia bukan keseluruhan (rakaman). Apa yang kita ada dalam IP (kertas siasatan) itu, kita terlepas bahagian yang 'menghasut' itu.

TMI: Anda boleh meminta polis menyiasat seterusnya, mencari rakamannya?

APANDI: Mereka tidak dapat menemuinya. Ia tidak akan datang. Saya sudah beritahu mereka, 'Ini tidak mencukupi. Pergi cari lagi.' Mereka kata, mereka tidak dapat mencarinya. Jadi, itulah akhirnya.

TMI: Adakah anda akan katakan polis seharusnya dipersalahkan?

APANDI: Jangan letak perkataan itu, bahaya! Setakat yang saya tahu, saya, sebagai pendakwa raya, kami akan meneliti apa sahaja yang disampaikan kepada saya, iaitu dari IP itu. Daripada IP itu, saya dapati tidak terdapat bukti yang mencukupi. Ia membuatkan keadaan jadi sukar. Saya tidak melihat orang ini sebagai 'Ali Tinju', saya tidak kenal pun dia. Tetapi jika tidak ada bukti yang cukup, memang tidak adalah bukti yang cukup." – 12 November, 2015

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget