KL CHRONICLE: Letchumi Natarajan ikrar bantu PM @NajibRazak & BN menang PRU - 14

Sunday, November 15, 2015

Letchumi Natarajan ikrar bantu PM @NajibRazak & BN menang PRU - 14


Letchumi Natarajan hanya orang biasa-biasa, tidak terkenal sehinggalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memilih datang ke rumahnya, membuat kejutan istimewa sebagai tetamunya pada hari sambutan Deepavali, baru-baru ini.



Wajah balu berusia 68 tahun itu berseri-seri ketika berdiri bersebelahan perdana menteri di rumahnya di Overseas Union Garden, Kuala Lumpur, dan sejak itu wajahnya terpampang di akhbar utama.

The Malaysian Insider berpeluang bertemu nenek yang mempunyai 5 cucu itu awal minggu ini. Beliau berkata Najib menghabiskan masa 30 minit di rumahnya dan menikmati hidangan thosai dan kari ayam.

Najib sendiri mengucapkan terima kasih kerana menghulurkan bantuan kepada kaum India dan menggalakkan beliau membantu MIC memenangi semula kerusi yang tewas sebelum ini dalam pilihan raya umum, menerusi kerja khidmat masyarakat dilakukannya.

“Beliau beritahu saya jangan berhenti apa yang saya buat dan sayap wanita dalam parti mesti bantu bawa kembali undi masyarakat India ke Barisan (Nasional).

“Beliau kata jika pemimpin parti tidak turun pandang, kritikan akan dikenakan semula kepada Barisan,” kata pemimpin MIC itu mengenai perbualannya dengan perdana menteri.

Meskipun kunjungan Najib ke rumahnya adalah peristiwa bersejarah, Letchumi bukan jenis orang yang suka bermegah mengenainya tetapi kelihatan bersemangat kembali pada keluarganya dan menyambung semula sambutan perayaan.

Beliau adalah penerima anugerah “Hero Saya” daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai menghargai kerja kemasyarakatan yang dilakukannya dan disiarkan dalam video di YouTube.

Katanya, sebelum kunjungan Najib, beberapa pegawai JPN bertemunya, kononnya untuk membuat susulan selepas penganugerahan yang diterimanya dan berjaya merahsiakan mengenai rancangan kedatangan Najib ke rumahnya.

Kesunyian pendorong keinginan untuk berkhidmat

Letchumi kematian suami ketika berusia 32 tahun pada 1983, dan ibu muda yang tiba-tiba mendapati dirinya bersendirian dengan 4 anak kecil untuk dijaga, tidak dapat mengelak daripada rasa sunyi.

Lingkungan rakan yang kecil tidak dapat membantunya.

Bagi menangani keadaan itu, Letchumi kemudian menyertai MIC cawangan Overseas Union Garden, satu keputusan yang mengubah hidup wanita itu selamanya.

“Saya nampak ahli MIC sibuk membantu orang yang memerlukan, jadi saya fikir, saya pun boleh buat begitu. Dan apabila saya mula membantu mereka yang memerlukan, saya rasa seronok dan memberikan kepuasan,” katanya.

Kerja kerasnya di kalangan kaum India menyebabkan beliau diberikan jawatan ketua Wanita cawangan itu dan kemudian ketua Wanita ketika bahagian itu ditubuhkan. Beliau juga bertanding dalam pemilihan parti MIC pada 2013 dan memenangi kerusi dalam majlis kebangsaan Wanita MIC.

Dalam pemilihan MIC baru-baru ini, beliau dilantik menjadi bendahari kebangsaan Wanita MIC.

Terdahulu, 10 tahun selepas kematian suaminya, Letchumi membuat keputusan membuka gerai makan di Taman Sungai Besi, yang menjadi tumpuan ramai dan berjaya memperoleh RM300 sehari. Sebelum itu, beliau hanya bergantung pada pencen mendiang suaminya sebanyak RM700 sebulan.

Gerai itu yang berkembang dijaga anak lelaki ketiganya dan Letchumi terus menyambung melakukan kerja khidmat masyarakatnya, terutama di kalangan wanita.

Tiga anaknya ialah 2 perempuan dan seorang lelaki. Seorang anak perempuannya bekerja sebagai pengurus di syarikat kejuruteraan dan seorang lagi bertugas di universiti sementara anak lelaki bongsunya ialah seorang jurutera.

Letchumi memandu sendiri kereta Perodua Alza dan tidak pernah mengalah dengan masalah atau isu melanda orang yang cuba dibantunya. Beliau juga sering ke jabatan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Contohnya, beberapa ibu tunggal datang beritahu saya mereka tidak terima rumah kos rendah selepas memohonnya beberapa tahun lalu, jadi saya pergi jumpa Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala, dan dalam tempoh sebulan setengah, mereka dapat unit di Bukit Jalil.

“Kemudian ada seorang peniaga umur 70 tahun di pasar tempatan yang mengadu pihak berkuasa asyik mengganggunya kerana kad pengenalannya merah.

“Gangguan itu berlaku walaupun semua anaknya ada kad pengenalan biru, jadi saya bawa dia ke Putrajaya dan dapatkan dia kad pengenalan biru, tetapi kemudiannya dia sakit dan tidak boleh bekerja lagi.

"Sekarang, anak lelakinya menjaga gerainya,” katanya.

Bimbang dengan pengaruh gengsterisme di kalangan masyarakat India, Letchumi bertindak sendiri dengan menubuhkan NGO – Persatuan Kebajikan dan Kemajuan Wanita Klang Lama Kuala Lumpur.

Beliau percaya punca masalah sosial di kalangan kaum India, terutama golongan belia kerana kurangnya pendidikan dan peluang pekerjaan.

Bagi menangani masalah itu, Letchumi menerusi NGO itu merancang menubuhkan pusat tuisyen menawarkan khidmat percuma di kawasan perumahan awam yang majoriti didiami kaum India berpendapatan rendah.

“Ideanya ialah mereka tidak perlu bayar sesen pun, mereka bayar kami dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Itu sasaran projek ini yang saya harap akan bermula Januari tahun depan,” katanya, menambah beliau tidak bimbang mengenai dana kerana ramai individu bermurah hati akan memberi sumbangan.

Percaya dengan keperluan memperkasakan wanita, Letchumi juga menganjurkan bengkel kemahiran 2 bulan untuk gadis muda dan ibu tunggal dengan kursus perawatan wajah, kuku dan juga membuat kek serta menggubah bunga tahun lalu.

“Ia kursus hujung minggu tetapi susah juga untuk kami mengisi 120 tempat walaupun keseluruhan projek itu ditaja sepenuhnya. Tetapi, kami berjaya juga mengendalikannya.

“Di pertengahan perjalanan kursus itu, ramai yang datang dan mahu menyertainya.

“Wanita yang mengambil bahagian diberikan sijil penyertaan oleh Datin Seri Rosmah Mansor sendiri, setahun lalu,” katanya.

Letchumi berkata beliau banyak membantu warga emas, yang tidak boleh memandu untuk pergi mengambil bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan mengusahakan tajaan kerusi roda bagi yang sakit dan kurang upaya.

Beliau juga menawarkan khidmat kaunseling, terutama kepada wanita India yang datang daripada keluarga miskin atau didera di rumah.

Memenangi kembali keyakinan terhadap MIC, BN

Kerana pembabitannya dalam MIC dan khidmat masyarakat, Letchumi kini bangga kerana mempunyai ramai kawan dan yakin pendekatannya akan membantu gabungan pemerintah memenangi kembali hati masyarakat India.

Dalam pilihan raya umum lalu, MIC bertanding di 9 kerusi Parlimen tetapi hanya menang 4 – Cameron Highlands, Segamat, Tapah dan Hulu Selangor.

“Masalahnya sekarang ialah tidak ramai yang turun padang mendengar isu rakyat, jadi masalah itu terus kekal tidak selesai.

“Kita semua kena turun padang untuk selesaikan masalah dan menang kembali kerusi yang kita kalah. Kita perlu buktikan kepada PM kekuatan kita dalam masyarakat India,” katanya.

Itulah fokus wanita itu sekarang.

“Kita akan bekerja kuat dan biar orang tahu hanya MIC satu-satunya parti yang boleh membantu orang Idia.

“Saya semakin bersemangat sekarang selepas kunjungan PM,” katanya dengan senyuman. – 15 November, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget