KL CHRONICLE: Kenyataan TMJ tidak berasas, FAM nafi gagal tangani rasuah

Wednesday, October 21, 2015

Kenyataan TMJ tidak berasas, FAM nafi gagal tangani rasuah

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia gagal menangani gejala rasuah walaupun Jawatankuasa Integriti FAM diwujudkan pada 2010. – Gambar Facebook, 20 Oktober, 2015.


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa badan induk itu gagal menangani gejala rasuah sebagai tidak berasas.

Menurut FAM dakwaan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor itu tidak tepat kerana isu rasuah menjadi agenda penting sehingga diwujudkan Jawatankuasa Integriti FAM pada 2010 sebelum semua persatuan negeri diwajibkan menubuhkannya pada 2013.



Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohmad Salleh; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, Datuk Roslee Chik; dan Pengarah Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Azam Baki.

"Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan tempatan serta pegawai dalam Liga Malaysia (Liga-M) bagi menangani gejala tidak sihat seperti rasuah dan mengatur keputusan perlawanan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tunku Ismail yang dipetik agensi berita Reuters berkata beliau mahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat FAM kerana gagal menangani rasuah selain menyimpan pendapatan hasil perolehan di negara ini.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata FAM sudah menjalankan program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuk kewangan dengan mengambil kira usaha mengoptimumkan peluang komersial yang juga merupakan intipati utama Program Prestasi FIFA.

"Program 3 tahun ini sudah dijalankan di FAM sejak tahun lepas dan juruaudit FIFA turut melawat FAM beberapa kali untuk menganalisis sistem operasi dan pengurusan kewangan bagi melihat penambahbaikan yang perlu diperbaiki.

"Maklum balas diterima menunjukkan mereka puas hati dengan segala aspek yang dinilai," kata Hamidin sambil menegaskan FAM turut melantik juruaudit dalaman dan luar untuk memeriksa rekod kewangannya.

Wakil juruaudit FIFA itu terdiri daripada Perunding Program Prestasi FIFA (Laporan Kewangan), Anter Issac; Perunding Program Win-Win FIFA, Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan FIFA (ERP & FIFA Connect), Sujit Manjuran.

"Andai apa yang dilakukan FAM tidak sesuai dengan amalan biasa, pasti FIFA sudah mengambil tindakan," katanya.

Mengulas isu pengagihan keuntungan Liga-M 2016 yang terus dibangkitkan Tunku Ismail, Hamidin menjelaskan FAM masih dalam proses menetapkan pecahan dan asas cadangan adalah hampir menyerupai konsep diamalkan FIFA dalam mengagihkan pendapatan daripada penganjuran Piala Dunia.

Hamidin berkata FAM sebagai pemegang hak milik Liga-M mendapat 40% daripada RM70 juta setahun iaitu jaminan daripada syarikat peneraju media antarabangsa, Media Partners & Silva (MP & Silva) dan jumlah itu mungkin bertambah jika syarikat berkenaan berjaya mendapat hasil komersial yang lain.

Daripada jumlah itu, FAM akan memperoleh 40%; pasukan dan kelab (30%); pembangunan pengadil dan belia (10%) manakala baki 20% akan disalurkan untuk perjalanan Liga M.

"Jadi berdasarkan hasil perolehan RM70 juta setahun itu, FAM hanya akan mendapat RM28 juta walaupun FAM sebenarnya perlu mencari baki RM42 juta lagi untuk menampung perbelanjaan tahunannya berjumlah sekitar RM70 juta itu," kata Hamidin.

Menurut Hamidin FAM memerlukan RM70 juta setahun bagi menguruskan pasukan kebangsaan dari peringkat remaja hingga senior, menganjurkan pertandingan tempatan, operasi FAM lain seperti gaji kakitangan termasuk jurulatih dan tenaga teknikal lain. – Bernama, 20 Oktober, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget