KL CHRONICLE: @dapmalaysia : Pakatan Harapan (PAHA) tetap akan menang PRU - 14 Tanpa PAS

Thursday, October 8, 2015

@dapmalaysia : Pakatan Harapan (PAHA) tetap akan menang PRU - 14 Tanpa PAS

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berucap pada majlis makan bagi mengutip dana Parti Amanah Negara di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, malam tadi. Beliau yakin Pakatan Harapan mampu memenangi pilihan raya umum akan datang walaupun tanpa kerjasama daripada PAS. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Oktober, 2015.

PAS yang  tidak dijemput menyertai gabungan baharu pembangkang terus diserang DAP malam tadi pada majlis makan malam mengutip dana bagi parti serpihan mereka, Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PAS sebenarnya sudah mula tidak mempamerkan prestasi yang baik di kubu kuat mereka Kelantan sejak kematian bekas mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.



Justeru katanya, gabungan baharu pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan (PAHA) akan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang tanpa PAS sekalipun.

"Jadi tanpa PAS adakah kita akan mampu menang? Biar saya beritahu anda, kita boleh. Ia tidak mudah ataupun percuma tetapi kita boleh.

"PAS semakin hilang kawalan di Kelantan. Kekurangan kerajaan negeri Kelantan tidak begitu jelas semasa Nik Aziz ada tetapi sekarang orang Kelantan tidak perlu lagi menaruh kepercayaan mereka terhadap kerajaan negeri," katanya di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurutnya, perkara itu jelas kelihatan sewaktu bencana banjir besar di Kelantan hujung tahun lalu yang menyaksikan seolah-olah kerajaan negeri "langsung tidak ada".

Hubungan DAP dan PAS putus secara rasmi apabila muktamar PAS yang lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan parti itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikritik bertali arus.

Hadi dikritik atas dakwaan culas menghadiri mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat (PR).

Beliau juga sering menggunakan kuasa vetonya dalam parti dengan membangkang keputusan yang dibuat timbalannya pada masa itu, Mohamad Sabu dalam mesyuarat majlis presiden PR.

Bercakap dalam majlis makan malam meraih dana Amanah semalam, Pua turut mengungkit bangkangan Hadi terhadap keputusan persetujuan DAP dan PKR mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, jika PAS menyertai gabungan baharu pembangkang sekalipun, mereka tidak akan mempercayai parti itu yang semakin merosot pentadbirannya.

"Jika bersama kita sekali pun, belum tentu prestasi mereka baik," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata partinya tidak akan memutuskan hubungan dengan PAS walau apa cara sekali pun.

"Kita tak boleh bakar jambatan dengan mereka, kita tetap perlu bercakap dengan mereka. Jika tidak, kita akan bertanding dalam suasana pilihan raya yang sama-sama merugikan semua pihak.

"Ia mungkin OK buat DAP dan PAS (tidak bertegur sapa) tetapi kami perlu mengemudi ruangan ini dan menjadi jambatan di antara mereka," katanya sewaktu berada sepentas dengan Pua sewaktu sesi soal jawab selepas makan malam. .

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget