KL CHRONICLE: Perhimpunan #RakyatBersatu : Jangan sentuh sensitiviti perkauman - Zahid Hamidi

Tuesday, September 15, 2015

Perhimpunan #RakyatBersatu : Jangan sentuh sensitiviti perkauman - Zahid Hamidi


Polis akan mengambil tindakan terhadap peserta 'Himpunan Rakyat Bersatu' esok sebagaimana yang dilakukan terhadap perhimpunan Bersih jika mereka mengingkari arahan dan menyentuh sensitiviti perkauman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.




Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata polis akan memantau aktiviti perhimpunan baju merah anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) di Padang Merbok, Kuala Lumpur itu.

"Walaupun perhimpunan itu mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis telah menentukan beberapa syarat terutamanya perarakan dari lima tempat untuk ke Padang Merobok mesti tidak dicemari dengan kain rentang, poster atau kata-kata kesat yang menyentuh soal-soal sensitiviti perkauman dan perkara-perkara dalam Akta Hasutan.

"Polis akan merampas kain rentang dan poster (menyentuh isu perkauman). Kita akan mengambil tindakan sebagaimana yang kita ambil dalam perhimpunan Bersih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan peserta konvoi Asean Ride di sini hari ini.

Kira-kira 30,000 peserta daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri Himpunan Rakyat Bersatu itu.

Semalam, DBKL membenarkan penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman itu di Padang Merbok.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa Himpunan Rakyat Bersatu bukan program UMNO sebaliknya dianjurkan gabungan pelbagai NGO yang menyokong perhimpunan itu bagi memperlihatkan maruah seorang individu tidak seharusnya dipermainkan apa lagi dijatuhkan.

"Saya berharap mesej ini difahami semua. Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, budaya dan agama, kita harus menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau tidak akan berada di lokasi perhimpunan kerana berada di Sabah untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia.

“Saya berharap perhimpunan (Rakyat Bersatu) tidak dikonotasikan sebagai melawan arus gelombang kuning dengan gelombang merah.

"Ini sekadar manifestasi bagaimana jauh di sudut hati mereka yang dicabar maruahnya, disuarakan untuk memperlihatkan bahawa tidak perlu adanya provokasi dilakukan oleh mana-mana indvidu atau pemimpin organisasi sama ada berdaftar atau tidak.
"Tentunya apabila empat kali perhimpunan baju kuning diadakan, saya fikir tidak perlu risau baju merah yang hanya berkumpul sekali,” katanya.

Semalam, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas menilai pelbagai pendapat daripada komponen parti BN berkata perhimpunan aman itu boleh diteruskan namun ia perlu mematuhi undang-undang.

Najib turut mengingatkan perhimpunan itu seharusnya mengelak pergeseran dan perbalahan yang boleh menggugat keamanan berikutan hari itu merupakan hari bersejarah penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget