KL CHRONICLE: @khairykj beri FAM 14 hari untuk sedia laporan atau digantung

Thursday, September 10, 2015

@khairykj beri FAM 14 hari untuk sedia laporan atau digantung


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan penggantungan jika Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan laporan yang perlu disediakan berhubung insiden kekecohan di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pejabat pesuruhjaya sudah menghantar surat kepada FAM semalam meminta badan induk sukan bola sepak itu mengemukakan laporan berhubung insiden pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi.



"FAM diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan tentang insiden itu. Kita perlukan maklumat terperinci sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.

"Selepas kita mendapat laporan dalam tempoh itu, baru Pesuruhjaya Sukan akan buat keputusan. Kami perlu memberikan hak mereka untuk menjawab," katanya.

Khairy bercakap pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk Program Pembangunan Sukan Pilihan di kementeriannya di Putrajaya hari ini antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan 5 wakil persatuan sukan.

MoU itu merangkumi 5 jenis sukan iaitu renang, badminton, berbasikal, olahraga dan sepak takraw.

Menurut Khairy, Pesuruhjaya Sukan boleh mengenakan hukuman itu terhadap FAM yang termaktub di bawah seksyen 20(1)(6) Akta Pembangunan Sukan 1997 yang memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan untuk membatal atau mengantung pendaftaran sesebuah badan sukan.

"Kami tiada pilihan sehingga mereka menyelesaikan masalah itu... ada perkara yang tidak difahami oleh ramai orang, kita tidak mahu FAM digantung tetapi mahu FAM dirombak, tetapi masalahnya akta ini tidak mempunyai kuasa untuk merombak mana-mana badan persatuan sukan," katanya.

Beliau sebelum ini pernah menyatakan mahu berjumpa FAM untuk berbincang tentang prestasi buruk pasukan Harimau Malaya selepas diaibkan 10-0 ketika menentang Emiriyah Arab Bersatu dalam perlawanan pada 5 September lepas.

Namun katanya, keadaan semakin kritikal apabila tercetusnya insiden yang boleh mencemarkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

"Saya difahamkan Kedutaan Malaysia di sana (Riyadh) sudah menerima surat bantahan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung perlawanan tersebut," katanya.

"Ini adalah soal keselamatan dan merupakan tanggungjawab FAM. Saya difahamkan amaran diberikan oleh FAM tentang insiden tersebut tetapi FAM tidak berusaha untuk menghalang perkara ini. Ini adalah salah penyokong dan salah FAM," katanya.

Pada perlawanan itu, Arab Saudi sedang mendahului Malaysia 2-1 sebelum perlawanan dihentikan pada minit ke-88 oleh pengadil Liu Kwok Man dari Hong Kong berikutan tindakan liar segelintir penyokong yang membaling suar dan mercun roket ke kawasan padang.

Dalam pada itu Khairy berkata beliau menyedari sikap ketegasannya itu akan menyebabkan FAM kemungkinan berdepan dengan penggantunggan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Sudah tentu saya memikirkan akibat jangka panjang tetapi kami tidak boleh, tidak mengambil tindakan kerana kami bimbangkan penggantungan di peringkat antarabangsa. Bila tiba masa kami campur tangan kami campur tangan tetapi saya tidak akan mengambil mudah semasa membuat keputusan," katanya. – Bernama, 10 September, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/fam-ada-14-hari-sedia-laporan-atau-berdepan-kemungkinan-digantung-kata-khai#sthash.kUiodeyA.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget