KL CHRONICLE: Warkah Buat Ahli #UMNO: Pengguguran Muhyiddin Dan Budi @NajibRazak #KekalNajib

Sunday, August 2, 2015

Warkah Buat Ahli #UMNO: Pengguguran Muhyiddin Dan Budi @NajibRazak #KekalNajib


Assalamualaikum Ahli UMNO Semua,

Penggguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah satu kejutan besar kepada kita. Namun ia tidaklah sebesar pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. Malah pengguguran ini tidak menyamai tindakan Tun Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1986.



Kejutan penggugguran Muhyiddin hanyalah sebesar tindakan Datuk Seri Mahathir Mohamad, dalam ucapan terbuka di Kuala Terengganu, yang secara tersirat meminta agar Encik Ghafar Baba, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada 1993.

Sebagai ahli UMNO yang suka melihat dan mengkaji keputusan-keputusan politik, saya berharap ahli UMNO dan rakyat Malaysia sedar bahawa pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan kerana beliau mengkritik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Perdana Menteri.

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah kerana beliau tidak lagi boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tidak lagi amanah kepada pentadbiran kerajaan yang beliau dokongi.

Ketika Kerajaan diserang segenap penjuru oleh pembangkang dan anasir asing (Sarawak Report dikendalikan oleh warganegara British, bukannya rakyat sarawak), kita tidak boleh mempunyai seorang kitol yang menembak dari dalam pentadbiran.

Perdana Menteri telah membentangkan laporan mengenai 1MDB kepada kabinet bersama dengan “factsheet”. Perdana Menteri juga telah memberi satu arahan jelas kepada semua anggota kabinet agar menulis pertanyaan kepada beliau dan 1MDB sekiranya ada yang tidak jelas atau meragukan.

Kabinet juga bersetuju dengan pelan menyelamat dan bantuan kepada 1MDB. Tidak ada bantahan daripada Timbalan Perdana Menteri yang kononnya jaguh pejuang rakyat.

Justeru apabila Muhyiddin bercakap kepada umum seolah-olah beliau tidak tahu apa-apa dan hanya mendapat maklumat dari The Edge (akhbar yang digantung penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri kerana dipercayai menyiarkan dokumen palsu), ia merupakan satu pengkhianatan kepada Kabinet.

Beliau bukan sahaja tidak menghormati keputusan kabinet yang beliau turut serta, malah memburukkan KDN yang diketuai oleh rakan kabinet lain. Apakah ini yang kita harapkan dari pemimpin nombor dua negara dan parti?

Kabinet telah diminta menulis sebarang pertanyaan dan kekeliruan mengenai 1MDB. Apakah Muhyiddin mengemukakan sebarang pertanyaan untuk mendapat kebenaran? Saya percaya tidak ada. Jika ada pasti beliau telah bercerita.

Sebaliknya Muhyiddin pergi kepada umum dan menyatakan beliau tidak tahu apa-apa mengenai 1MDB. Apakah ini jenis anggota pentadbiran yang diperlukan?

Bagaimanakah Perdana Menteri dan Kerajaan boleh meyakinkan rakyat apabila Timbalan beliau sendiri mempertikaikannya secara terbuka?

Jangan kita bersikap hipokrit. Jika anda ketua, adakah anda akan kekalkan sesiapa dibawah anda yang secara terbuka dan berkali-kali membelasah anda di belakang anda? Ia tidak mungkin berlaku baik dalam politik, pejabat mahu pun perniagaan. Malah di media sosial pun berapa kali kita “block” orang lain yang menghentam kita.

Perdana Menteri mahu menyelesaikan kemelut 1MDB. Namun ia sukar diselesaikan sekiranya tidak mempunyai pasukan yang jujur, ikhlas dan komited membantunya. Apakah pilihan Perdana Menteri dan Presiden parti ada jika timbalannya sendiri mensabotaj kerajaan?

Muhyiddin patut bersyukur kerana Mohd Najib menyingkirkannya secara terhormat dan penuh digniti. Apa nasib Anwar Ibrahim apabila Mahathir mahu menyingkirkannya pada 1998?

Mahathir menyingkirkan Anwar kerana Anwar sudah tidak lagi boleh memainkan peranannnya sebagai anggota kabinet dan parti dalam satu pasukan. Beliau menggunakan jentera kerajaan dan parti untuk memburukkan kepimpinan Mahathir.

Alasan seks luar tabie ini sungguhpun benar ia hanyalah alasan. Mengikut Tun hanif Omar, risikan telah melaporkan kepada Mahathir mengenai tabiat luar tabie Anwar Ibrahim sejak 1993. Namun hanya pada 1998, Anwar Ibrahim dipecat menggunakan alasan terbabit kerana beliau sudah mengkhianati pasukan pentadbiran dan partinya.

Mohd Najib tidak memilih jalan tersebut sungguhpun sekian banyak gosip dan skandal kelulusan projek dan tanah dari zaman Menteri Besar sehingga ke Timbalan Perdana Menteri boleh digunakan ke atas Muhyiddin Yassin.

Mohd Najib hanya mahu tahu mengapa Muhyiddin memburukkan beliau, kerajaan dan 1MDB di luar dan ia tidak boleh dijawab oleh timbalannya itu. Maka di situ berakhirlah kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Apakah Mohd Najib jahat, rakus dan auotkratik? Ia terserah kepada penilaian anda.

Hakikatnya, tiada Perdana Menteri termasuk Mahathir Mohamad, tiada jeneral paling hebat termasuk Alexander The Great, mampu mempunyai Timbalan yang sering mensabotaj beliau dan menjatuhkan moral pentadbiran sendiri di khalayak ramai.

Amin bin Yatim
Petaling Jaya
-E-mel pembaca MYKMU.NET

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget