KL CHRONICLE: PAS mula bertindak, 2 pemimpin GARU bakal digantung keahlian

Monday, August 3, 2015

PAS mula bertindak, 2 pemimpin GARU bakal digantung keahlian

PAS membuat keputusan bertindak ke atas ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru minggu lalu selepas tekanan semakin kuat agar tindakan diambil ke atas mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Ogos, 2015.

PAS dijangka mula bertindak ke atas ahlinya yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GARU) termasuk menggantung keahlian mereka pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hujung minggu ini.

Menurut sumber, PAS membuat keputusan itu minggu lalu selepas tekanan semakin kuat agar tindakan diambil ke atas mereka.



"Besar kemungkinan 2 pemimpin PAS yang aktif di Kelantan akan digantung keahlian mereka," kata sumber itu.

Tindakan ini dipercayai diambil ekoran PAS Kota Baru, yang diketuai Penyelaras GARU Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, memecat Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kota Baru.

Keputusan memecat Takiyudin dibuat dalam mesyuarat PAS kawasan tersebut pada 15 Julai lalu, 2 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dalam mesyuarat tersebut, Rahim dikatakan turut memecat pengarah pilihan raya PAS kawasan tersebut, Hamid Seman. Kedua-duanya merupakan AJK yang dilantik.

Dalam mesyuarat itu juga, Rahim dikatakan turut menyerahkan tugasnya sebagai yang dipertua PAS Kota Baru kepada timbalannya, Dr Rosli Allani Abdul Kadir manakala beliau sendiri mengambil cuti.

Semalam, PAS Kuala Terengganu mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang menang atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu selepas beliau dilantik sebagai penyelaras GARU negeri Terengganu.

Pengumuman pelantikannya dibuat dalam satu perhimpunan GARU di Jertih, Besut pada 31 Julai lalu.

"PAS tidak lagi menggabungkan diri, bekerjasama, memberi apa-apa jua bantuan atau kemudahan kepada ahli Parlimen Kuala Terengganu," kata Setiausaha PAS Kuala Terengganu Soud @ Said Mat Ali dalam satu suratnya kepada ahli PAS di kawasan itu.


No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget