KL CHRONICLE: #MH17 : Malaysia Tidak Pernah Lupa @liowtionglai Bentang Resolusi Bagi Tribunal di PBB

Thursday, July 30, 2015

#MH17 : Malaysia Tidak Pernah Lupa @liowtionglai Bentang Resolusi Bagi Tribunal di PBB



UNTUK SIARAN SEGERAKENYATAAN AKHBAR 
OLEH YB DATO' SRI LIOW TIONG LAI 
MENTERI PENGANGKUTAN

Malaysia Bentang Resolusi Bagi Tribunal MH17 Di Majlis Keselamatan PBB 

Saya akan mewakili negara di New York pada hari Rabu, 29 Julai 2015, di mana Malaysia bersama-sama dengan empat lagi anggota Pasukan Siasatan Bersama (JIT) untuk MH17 iaitu Belgium, Australia, Belanda dan Ukraine akan berusaha bagi mendapatkan sokongan dari kesemua ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa khusus untuk MH17.



Hampir setahun yang lalu, Majlis Keselamatan ini telah sebulat suara untuk menerima pakai Resolusi 2166 secara konsensus beberapa hari selepas insiden malang tragedi MH17. Majlis ini juga telah mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut dan menggesa siasatan antarabangsa yang menyeluruh dan bebas mengikut garis panduan penerbangan awam antarabangsa.


Resolusi tersebut juga turut menyeru semua Negara anggota untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan antarabangsa dan menuntut mereka yang bertanggungjawab dalam insiden ini ke muka pengadilan.

Sekali lagi, kita berada di fasa penting dalam usaha berterusan Negara menyeru Majlis Keselamatan PBB ini supaya mengotakan ikrar dan janji mereka untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab dalam insiden MH17 agar perkara ini dapat dibawa ke muka pengadilan. Dalam hal ini, penubuhan satu tribunal jenayah antarabangsa ad hoc adalah amat wajar dan perlu dilakukan.

Masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia akan terus meratapi kehilangan 298 nyawa yang tidak berdosa dalam tragedi malang ini. Malaysia kekal komited dan fokus dalam menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab bagi tragedi ini menerima hukuman yang setimpal.


[TAMAT]

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget