KL CHRONICLE: Tahniah Team Hoki #Malaysia , Peluang ke #Olympic Cerah #HWL2015 #RoadToRio

Friday, June 26, 2015

Tahniah Team Hoki #Malaysia , Peluang ke #Olympic Cerah #HWL2015 #RoadToRio

PELUANG OLIMPIK CERAH

Oleh Muhammad Zuhaily Badlishah
----------------

RAZIE (dua dari kiri) menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Ireland 4-2 pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium semalam.
----------------
PELUANG Malaysia untuk menamatkan penantian 15 tahun beraksi pada Sukan Olimpik semakin cerah selepas berjaya menewaskan Ireland 4-2 pada aksi kedua Kumpulan B kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) malam tadi.

Kemenangan di Stadium KHC Dragons, Antwerp, Belgium itu menyaksikan The Speedy Tigers berjaya mengesahkan slot awal ke pusingan suku akhir hasil dua kemenangan termasuk menang 3-2 ke atas China pada aksi pertama Sabtu lalu.

Lebih manis, kemenangan itu juga menjadi hadiah istimewa buat penyerang Malaysia, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil yang meraikan penampilan ke-200 bersama skuad hoki negara di pentas antarabangsa pada aksi tersebut.

“Ini satu kejayaan yang cukup bermakna buat pasukan dan diri saya. Kedua-dua pasukan mahukan kemenangan dan ia boleh dilihat berdasarkan ketegangan perlawanan ini.

“Saya gembira kami berjaya memenangi perlawanan ini selepas terpaksa bersaing sengit dengan Ireland,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Skuad bimbingan Tai Beng Hai itu membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-13 sebelum Peter Caruth mengikat kedudukan 1-1 seminit kemudian.

Pasukan yang menghuni ranking ke-14 dunia itu sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 melalui Shane O’Donoghue pada minit ke-16 selepas gol daripada kapten Malaysia, Muhammad Razie Abd. Rahim (m-15).

Bersambung di suku masa ketiga, amukan barisan pemain skuad negara ternyata membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Sukri Mutalib menjaringkan gol ketiga Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

Izwan Firdaus muncul wira pasukan apabila meledak gol kedua peribadi yang juga jaringan keempat Malaysia dengan satu gerakan menarik pada minit ke-56.

Kemenangan tersebut pastinya membakar semangat para pemain The Speedy Tigers untuk mencatatkan kemenangan ketiga kempen kali ini, ke atas lawan seterusnya iaitu Belgium esok.

Malaysian Hockey Team Fan Page's photo.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget