KL CHRONICLE: Kini Pemimpin PAS Tersingkir "merajuk" , tolak jawatan lantikan

Thursday, June 11, 2015

Kini Pemimpin PAS Tersingkir "merajuk" , tolak jawatan lantikan


Kumpulan Pro-DAP dalam PAS yang kalah pada pemilihan parti itu minggu lepas memutuskan tidak akan menerima sebarang pelantikan jawatan jika ditawarkan kepada mereka oleh pimpinan baru yang kini didominasi golongan ulama.



Walaupun desakan demi desakan dibuat oleh DAP agar mereka bertindak, termasuk dengan menubuhkan parti baharu dan bersama Pakatan Rakyat (PR), mereka mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Buat masa ini saya memilih untuk menjadi ahli biasa saja," kata bekas naib presiden PAS Salahuddin Ayub yang ditewaskan buat pertama kali baru-baru ini.

Beliau merupakan naib presiden paling kanan sebelum ditewaskan, bersama rakan yang lain, oleh kumpulan pro ulama dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor Jumaat lepas.

Menurut sumber, sikap Salahuddin menolak sebarang jawatan ini dikongsi semua pemimpin kumpulan Pro-DAP yang ditewaskan baru-baru ini seperti Mat Sabu, Mujahid Yusof Rawa, Hanipa Maidin dan beberapa yang lain. 

Ia disuarakan secara bertulis oleh bekas ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Khalid Samad dan Abang Ahmad Kerde Abang Masagus selain bekas AJK Muslimat Wan Aishah Wan Arifin.

Sikap ini diambil berdasarkan pendirian kumpulan ulama PAS, sebagaimana yang disuarakan ketuanya yang baharu Datuk Dr Mahfodz Mohamed, melalui wawancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lepas.

"Sekarang ni, saya terus terang, golongan Pro-DAP dominan, dia kuat dan boleh beri fakta menyebabkan keputusan tidak boleh dibuat.

"Sebab itulah kadang-kadang tok guru terpaksa buat keputusan sendiri. Beliau merujuk kepada Majlis Syura saja. Kalau dibawa kepada AJK Pusat memang kalah.

"Kali ini apabila kebanyakan AJK sokong ulama, maka memang kerja akan menjadi mudah kerana masing-masing tahu dasar PAS.

"Semua ustaz memahami perkara itu dan memang kesetiaan mereka kepada presiden akan lebih kukuh," kata Mahfudz kepada akhbar itu. 

Ia menjadi penyebab langsung mereka menolak sebarang pelantikan.

Sementara itu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang didakwa golongan ulama sebagai 'duri dalam daging kepada PAS' akan membuat sidang meja bulat bagi membincangkan masa depan PAS 13 Jun ini di Shah Alam.

"Kami panggil semua pemimpin negeri kami dan juga menjemput pemimpin badan bukan kerajaan menyertai sidang ini bagi memberikan input apa yang patut kami buat selepas apa yang berlaku dalam muktamar lepas," kata Setiausaha Agung PasMa Taib Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Selepas mencapai kata sepakat, mereka akan menyampaikan keputusan dan pandangan itu kepada pihak yang perlu di dalam PAS kerana hampir semua ahli dan aktivis PasMa merupakan ahli parti Islam itu. – 11 Jun, 2015

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget