KL CHRONICLE: Kenyataan Media #1MDB - Tun M berbohong mengenai usaha sama PetroSaudi

Wednesday, June 17, 2015

Kenyataan Media #1MDB - Tun M berbohong mengenai usaha sama PetroSaudi


Kenyataan Media 1Malaysia Development Berhad, Selasa Jun 16, 2015

Fakta berhubung dengan blog posting bertajuk "More Investments by 1MDB" oleh Tun Dr Mahathir Mohamad




1. Tun Mahathir mendakwa bahawa "PetroSaudi tidak membayar satu sen pun" dalam usaha sama dengan 1MDB.

PetroSaudi, melalui anak syarikatnya, memiliki aset yang terdiri daripada hak ke atas kawasan minyak di Turkmenistan dan Argentina, bernilai kira-kira USD2.7 bilion. Aset-aset ini telah dijual oleh PetroSaudi kepada anak syarikat lain, iaitu "JV Co", yang pada ketika penjualan aset, adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh PetroSaudi dan pada asalnya dimiliki 100% oleh syarikat tersebut, untuk cadangan usaha sama dengan 1MDB.

Sebagai balasan ke atas pemindahan aset bernilai USD2.7 bilion, JV Co perlu membayar PetroSaudi sebanyak USD700 juta. Hutang ini adalah hasil daripada pemindahan aset. Dengan itu, tiada sebarang pinjaman dibuat atau "untuk menyelesaikan".

Pada 29 September 2009, 1MDB memeterai perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi. Sebaik selesai penilaian bebas, 1MDB telah menyumbang USD1 bilion tunai sebagai balasan untuk pemilikan 40% daripada JV Co, dan PetroSaudi masih mempunyai pegangan 60% dalam JV Co. Hakikatnya; sumbangan 1MDB adalah dalam bentuk tunai, manakala sumbangan PetroSaudi adalah aset yang telah dinilaikan secara bebas bernilai USD2.7 bilion.

Antara perkara dalam perjanjian usaha sama itu adalah, daripada jumlah USD1 bilion yang disumbangkan oleh 1MDB, USD700 juta akan digunakan untuk membayar PetroSaudi untuk pemindahan asal aset untuk JV Co (lihat di atas) manakala USD300 juta akan kekal dalam JV Co. Selepas berpuas hati dengan penilaian bebas, seperti dalam perjanjian usaha sama, 1MDB telah membuat pembayaran sebanyak USD700 juta kepada anak syarikat PetroSaudi, dan memperolehi hakmilik kepada bahagian 40% daripada JV Co, sebuah syarikat yang mempunyai aset bernilai bebas bernilai USD2.7 bilion pada masa itu.

Atas sebab itu, PetroSaudi mempunyai hak mutlak ke atas USD 700 juta yang dibayar oleh 1MDB dan dana ini adalah boleh digunakan oleh PetroSaudi mengikut kehendak dan keperluannya.

2. Tun Mahathir mendakwa: "tiba-tiba, USD 300 juta bayaran oleh 1MDB ditukar kepada pinjaman Murabaha". Beliau mendakwa "Kita memang tidak tahu di mana ia berada".

Usaha sama dengan PetroSaudi telah ditamatkan pada bulan Mac 2010, dengan PetroSaudi mengambil semula pemilikan 100% daripada JV Co. 1MDB telah menukar ekuiti USD1 bilion dalam JV Co kepada nota murabahah yang dikeluarkan oleh JV Co, berdasarkan syarat-syarat Perjanjian Pembiayaan Murabahah. PetroSaudi, sebagai pemilik 100% JV Co, menjamin sepenuhnya obligasi JV Co terhadap nota murabahah ini.

1MDB kemudiannya membuat pelaburan tambahan sebanyak USD500 juta dan USD330 juta ke atas nota murabahah tambahan yang diterbitkan oleh JV Co.

Secara keseluruhan, 1MDB melabur USD1.83 bilion tunai dalam bentuk nota murabahah yang dikeluarkan oleh JV Co, sebuah syarikat yang pada ketika itu, telah dimiliki 100% oleh PetroSaudi berikutan penamatan usaha sama itu pada bulan Mac 2010.

Pada bulan Jun 2012, keseluruhan USD1.83 bilion jumlah yang dilaburkan oleh 1MDB dalam nota murabahah telah dibayar balik, melalui penukaran kepada saham-saham PetroSaudi Oil Services Limited, untuk nilai USD2.22 bilion.

Dalam bulan September 2012, 1MDB menjual saham-saham dalam PetroSaudi Oil Services Limited untuk USD2.318 bilion dan menerima unit dana melalui dana berdaftar Cayman. Dana berdaftar Cayman ini diuruskan oleh Bridge Partners, iaitu pengurus dana yang berpangkalan di Hong Kong. Unit-unit dana ini dimiliki oleh 1MDB melalui anak syarikat 100% miliknya, iaitu Brazen Sky, dan dipegang oleh BSI Bank Singapura sebagai penjaga.

Hakikatnya, 1MDB telah melabur sebanyak USD1.83 bilion dengan PetroSaudi (pada mulanya sebagai ekuiti, kemudiannya sebagai nota murabahah), dan akhirnya memiliki USD2.318 bilion unit dana iaitu pulangan sebanyak USD488 juta.

Fakta-fakta yang dinyatakan di atas boleh disahkan dengan merujuk kepada nota-nota kepada penyata kewangan yang telah diaudit 1MDB bertarikh 31/03/2010, dan 31/03/2012 dan 31/03/2014.

3. Tun Mahathir menyatakan: "Arul Kanda berkata dia melihat wang tunai yang ada dan Perdana Menteri berkata wang itu ada di sana. Ia tidak dikembalikan kerana Bank Negara akan bertanya terlalu banyak soalan. Sedangkan Bank Negara, menurut undang-undang perlu mendapatkan kelulusan Menteri bagi meluluskan atau tidak meluluskan sebarang transaksi. Pada ketika yang sama, Menteri pula adalah ketua kepada 1MDB. Jadi apa yang begitu sukar tentang mendapatkan kelulusan Bank Negara? "

Berlawanan dengan dakwaan Tun Mahathir ini, hakikatnya Arul Kanda TIDAK PERNAH berkata beliau "melihat wang tunai". Beliau, seperti yang direkodkan, berkata, beliau telah "MELIHAT PENYATA TERSEBUT", merujuk kepada pemilikan dan penebusan unit dana tersebut.

Tun Mahathir mengulangi lagi di dalam blognya jawapan asal Kementerian Kewangan (MOF) kepada Parlimen, tetapi memilih untuk mengenepikan terus jawapan yang dipinda oleh MOF dan penjelasan yang dibuat oleh Arul Kanda pada 10 Jun 2015.

Sememangnya terdapat salah faham berkaitan maklumat yang diberikan oleh 1MDB kepada MOF, yang kemudiannya menyebabkan jawapan asal Parlimen ini perlu dipinda. Ini adalah urusan rakaman awam dan ia telah diperakui oleh 1MDB.

Sebagai Presiden syarikat, Arul Kanda mengambil tanggungjawab penuh ke atas salah faham ini dan akan memastikan komunikasi yang lebih baik dengan semua pihak berkepentingan. Tambahan pula, seperti yang dijelaskan oleh MOF, langkah-langkah yang bersesuaian telah dilaksanakan bagi mengelakkan perkara ini dari berlaku sekali lagi pada masa akan datang.

Pada waktu yang sama, kita perlu mempersoalkan punca Tun Mahathir mengulangi secara berterusan kenyataan awalnya sebelum ini, sedangkan penjelasan telah diberikan dan tanggungjawab telah diambil.

Berkaitan soal Bank Negara Malaysia yang disebut Tun Mahathir, hakikatnya Bank Negara Malaysia ketika ini sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB. Adalah lebih wajar untuk menunggu hasil siasatan yang dibuat ini dan bukannya menimbulkan lagi keraguan dan menyebarkan cerita yang separuh benar di dalam domain awam.

4. Tun Mahathir mendakwa: "1MDB dan Perdana Menteri tidak menunjukkan bukti kewujudan wang dari Kepulauan Cayman. Adakah ia di Singapura atau USD1 bilion ini lesap? "

Dari jawapan kepada soalan (2) di atas, jelas bahawa sejak bulan September 2012, 1MDB memiliki, melalui anak syarikatnya Brazen Sky, unit dana dalam Tabung Berdaftar Cayman, yang bernilai sebanyak USD2.318 bilion pada tarikh 31/03/2015. Unit-unit dana telah dipegang melalui BSI Bank Singapura, sebagai penjaga. Ini telah berlaku sejak 2012.

Kewujudan USD2.318 bilion dalam unit dana tidak pernah dipersoalkan, dan nilai ini telah dimasukkan ke dalam penyata kewangan beraudit bertarikh 31/03/2014, yang memberikan nilai sebenar dan saksama aset syarikat.

Malah, tranche pertama USD1.22 bilion unit dana telah ditebus secara tunai pada tahun 2014 dan hasil tunai tersebut digunakan untuk membayar penamatan pilihan yang berkaitan dengan perniagaan tenaga, yang telah diserahkan kepada Aabar, modal kerja dan faedah pembayaran - seperti yang dinyatakan dalam penyata kewangan syarikat yang boleh diperolehi awam.

Baki USD1.1 bilion unit dana ini juga telah ditebus, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh 1MDB. Semua "bukti berdokumen" berkaitan penebusan ini akan diserahkan kepada juruaudit 1MDB dan pihak berkuasa yang sah.

Biarpun penjelasan awam telah dibuat berulang kali, Tun Mahathir memilih untuk bertanya soalan yang sama, berulang-ulang kali. Seseorang perlu mempersoalkan motif tersembunyi kenapa dia secara berterusan mengatakan bahawa "USD1 bilion ini lesap" sedangkan jelas bahawa dana ini telah diambil kira dan diaudit.

Tun Mahathir pernah dipetik, sebagai berkata bahawa "RM42 bilion telah hilang". Kini dia menyatakan pula "USD1 bilion yang hilang". Perubahan yang berterusan dalam jumlah yang disebut membingungkan dan menimbulkan persoalan tentang motivasi di sebalik dakwaan yang sentiasa berubah-ubah ini.

5. Tun Mahathir mendakwa: "Penyata tanpa bukti berdokumen, seperti yang kita lihat, tidak berguna. Kita perlu bukti mengenai semua pelaburan dan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB. Tetapi tiada bukti yang ditunjukkan melainkan bagi pembelian loji janakuasa dan pembelian tanah Kerajaan di Kuala Lumpur dan tanah persendirian di Pulau Pinang. Sehingga bukti berdokumen yang bertandatangan dan bukan hanya kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif atau Perdana Menteri, ditunjukkan, kita perlu menganggap bahawa wang yang dipinjam oleh 1MDB telah hilang."

"Bukti Berdokumen" untuk semua aset 1MDB, termasuk unit-unit dana dan aset kewangan lain 1MDB, telah dikemukakan kepada juruaudit 1MDB. Adalah berdasarkan kepada ini, akaun 1MDB telah ditandatangani oleh juruaudit, tanpa syarat.

Di samping itu, "bukti berdokumen" ini telah dikemukakan kepada Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia, pihak berkuasa yang sah, yang kita jangka akan menyemak dokumen-dokumen ini dengan lebih teliti.

Kita di Malaysia beruntung kerana mempunyai undang-undang yang menyatakan sesuatu pihak itu "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah". Proses yang betul memerlukan pihak berkuasa yang sah menjalankan siasatan terlebih dahulu, membina fakta-faktanya dan mengambil tindakan berdasarkan fakta-fakta tersebut.

Perdana Menteri telah beberapa kali menyatakan, dalam sejumlah kenyataan, bahawa sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang dibuktikan, tindakan akan diambil. 1MDB menyokong penuh pendirian ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang sah dalam penyiasatan mereka.

tun faisal dot com: Kenyataan Media #1MDB - Tun M berbohong mengenai usaha sama PetroSaudi (Bahasa Melayu) - http://tunfaisal.blogspot.com/2015/06/1mdb-tun-m-berbohong-mengenai-usaha.html?m=1

5 comments:

Labu8455 said...

Nak tanya blogger penjilat teloq Najib ni - ada berani Najib dan 1MDB saman Tun M kerana (konon nya) berbohong ?

usin said...

en labu;
tak payah la sampai nak saman-saman bagai. jangan lagakan sangat pm najib dengan negarawan terulung tun mahathir. tak perlu menggelar sesiapa sebagai penjilat jubur, tak beradab. jika ada tuduhan, buktikan tuduhan tersebut dan pastikan nilai dalam tuduhan tuduhan itu konsisten. tak perlulah sekejap 42 bilion, sekejap 27 bilion dan sekejap lagi tinggal 1 bilion. rakyat nak tahu apa jawapan dpd pm berdasarkan nilai asal, so jangan ubah-ubah. jangan menyangka dan terlalu konfiden bahawa semua rakyat akan memihak, samada bersama tun mahathir atau bersama najib. adakah rakyat biasa yang tidak suka perang saraf begini tidak diikhtiraf sebagai rakyat? jangan sampai bagai dikata, labu ni harapkan banyak biji tapi kekal tak ada otak!

Fikir said...

Blogger bangang jangan bersubahat tipu duit rakyat.

Bacaan wajib untuk prepaid blogger supaya sedar dari termakan rezeki haram

https://jebatmustdie.wordpress.com/

Fikir said...

usin

konon niat nak beri nasehat tapi kau sendiri kutuk orang lain

apa punya ostad lah

pi baca https://jebatmustdie.wordpress.com/

jangan senang ditipu orang yg berkuasa tapi mencuri dlm senyap

Abu Bakar said...

Petrosaudi ni berniaga petroleum ke atau macam 1MDB juga? Beli aset lepas tu jual, memang lingkuplah kalau berniaga macam ni.

Sila 1MDB beritahu, di mana lokasi telaga petroleum di Argentina dan Turkemnistan itu? Kalau dah dijual, dijual kepada siapa? Pasal apa jual?

Apa yang jelas adalah Petrosaudi juga bermasalah macam 1MDB juga, tak tahu apakah yang mereka urusniagakan, beli aset jual aset, bukannya beli aset untuk jana keuntungan jangkamasa panjang.

Malahan Petrosaudi ditubuhkan pada tahun 2005, kononnya berniaga dalam bidang petroleum, tapi macam 1MDB juga, beli aset jual aset, berniaga jadah apakah macam ini tak tahulah.

Dari ekuiti jadi murabahah, meniaga apa pun tak tahulah macam ni, putar sana putar sini, akhir sekali semua lingkup.

Persoalan saya kepada Najib dan kuncu-kuncu serta pecacai Najib seperti Blogger KL Chronicle dan lain-lainnya itu, apakah mampu 1MDB nak uruskan hutangnya yang kini lebih dari RM 42 bilion dan ditambah lagi dengan kos faedah bank setiap tahun yang berjumlah antara RM 2.4 bilion hingga RM 2.7 bilion dengan keadaan 1MDB sendiri yang tenat sekarang ini yang menanggung kerugian sejak dia awal penubuhannya lagi hinggalah sekarang ini. Sila berikan justifikasinya.

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget