KL CHRONICLE: @NajibRazak : Kadar Defisit Menurun Setiap Tahun dibawah Pentadbiran Saya #KekalNajib

Monday, May 11, 2015

@NajibRazak : Kadar Defisit Menurun Setiap Tahun dibawah Pentadbiran Saya #KekalNajib



Datuk Seri Najib Razak mengatakan hari ini sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada 2009, Putrajaya pada setiap tahun tidak pernah gagal untuk mengurangkan kadar defisit negara.

Perdana menteri dilihat kini bertambah yakin dimana beliau dengan tegas mempertahankan dirinya daripada serangan dan kritikan terhadapnya sejak akhir-akhir ini yang mengkritik gaya kepimpinannya termasuk daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.



"Apabila saya ambil alih kepimpinan, defisit negara adalah 6.6%. Setiap tahun tanpa gagal dan secara konsisten, kadar dikurangkan kepada 3.5% setahun. Ini menunjukkan kita berada di landasan untuk capai bajet berimbang 2020," katanya yang juga menteri kewangan pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Najib juga berkata kerajaan perlu yakin dengan apa yang dilaksanakan sudah mencapai keberhasilan dan daya saing negara juga bertambah.

"Yakinlah kalau kita teruskan usaha apa yang dilakukan, perbaiki kelemahan lain dan kita bekerja sebagai pasukan.

"Kalau ada masalah lain dalam tempoh itu, beri tempoh untuk selesaikan, dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan syarat kita bersama sebagai satu keluarga.Yakinlah apa yang kita impikan boleh diselesaikan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Semalam, Najib memulakan jelajah untuk bertemu rakyat mempertahankan dirinya daripada serangan dari dalam dan luar Umno oleh parasit-parasit parti yang dilihat kini rakus mahu merampas kuasa.

Najib menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Beliau berkata, selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan negara sebagai perdana menteri dan ahli Umno terus teguh menyokongnya sebagai presiden parti maka beliau akan tidak akan berganjak daripada jawatan yang disandangnya sekarang.

"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program “Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak” di Padang Perbandaran Tawau di Tawau, semalam.

Ini merupakan kali pertama Najib menjawab secara terbuka dan lantang desakan Dr Mahathir agar beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Katanya, setiap pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika menerajui pucuk pimpinan negara selama 22 tahun.

"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan Umno, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50% ahli Umno suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi perdana menteri'. Oh hebat dia jawab.

"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tidak sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi perdana menteri," kata Najib sekali lagi mendapat sorakan hadirin.

"Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi perdana menteri, kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri, sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak apa, jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB))," katanya.

Najib berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit, sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.

Beliau menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh. – 11 Mei, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget