KL CHRONICLE: Kes Persempadanan Semula Sarawak, SPR Wajar Merayu untuk Buktikan Kebenaran

Wednesday, May 27, 2015

Kes Persempadanan Semula Sarawak, SPR Wajar Merayu untuk Buktikan Kebenaran

SPR telah mengikut segala apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Pada 15 Mei yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah membuat keputusan dengan mengarahkan SPR mengeluarkan semula notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak dengan mematuhi peruntukan dalam Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan. Bagi kami di #KLChronicle, kami berharap Jabatan Peguam Negara akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan ini kerana telah terbukti bahawa apa yang dilakukan di Sarawak adalah berdasarkan perlembagaan persekutuan. 



Bagi mereka yang tidak mendapat maklumat yang lengkap tentang kes ini, pada awalnya bantahan yang dilakukan oleh "pihak berkepentingan" ini berkisar tentang isu dimana kononnya SPR tidak mengeluarkan notis tentang persempadanan kawasan pilihan raya kepada semua kawasan yang terlibat di Sarawak. Ini merupakan satu penipuan yang sangat ketara oleh "pihak berkepentingan" ini kerana jumlah bantahan yang diterima oleh SPR dalam kes persempadanan semula ini adalah yang tertinggi dalam sejarah. Ini membuktikan bahawa rakyat Sarawak tahu tentang program persempadanan semula ini dan mereka dapat melakukan representasi bantahan tanpa mana-mana halangan. 

Berdasarkan data yang kami terima, jumlah representasi bantahan sebanyak 86 yang diterima adalah yang tertinggi dalam sejarah mengendalikan proses kajian semula persempadanan di Sarawak. Representasi bantahan ini diterima pada pameran kali pertama dan kedua dari pengundi di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman seperti Baram, Serian, Simunjan, Saratok, Mukah, Kapit, Hulu Rajang serta Sarikei. 

Daripada jumlah itu, 51 representasi bantahan memenuhi peruntukan seperti dalam notis Syor-syor Persempadanan Semula, masing-masing bertarikh 5 Januari dan 30 Mac. Ini membuktikan notis yang dikeluarkan oleh SPR juga terdapat di kawasan pedalaman seperti Mukah, Kapit, Hulu Rajang dan lain-lain. Tidak ada langsung unsur penipuan atau sabotaj dalam perkara ini. Ini sangat berbeza dengan pencapaian persempadan sebelum ini yang hanya menerima sedikit sahaja bantahan.

Malah, perlu diingatkan bahawa kos untuk melakukan proses persempadanan semula adalah tinggi memandangkan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar. Oleh sebab itu, kami sangat berharap bahawa pihak Jabatan Peguam Negara akan melakukan rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching supaya wang kerajaan dapat dijimatkan daripada melakukan proses persempadanan semula sekali lagi. Bagi NGO Pro-Pembangkang BERSIH 2.0, fitnah mereka bahawa SPR menghina mahkamah kerana meneruskan proses persempadanan semula adalah bodoh dan dangkal sama sekali. 

Jika diteliti, tuduhan BERSIH 2.0 tidak berasas kerana SPR telah melakukan proses siasatan tempatan terakhir pada 13 Mei manakala mahkamah mengeluarkan arahan penghakiman mereka pada 15 Mei, jadi di mana pula dikatakan SPR hina mahkamah dengan melanggar arahan mahkamah? Bagi kami di #KLChronicle, BERSIH 2.0 cuma berniat menangguk di air keruh untuk membohongi masyarkat dan cuba membangkitkan persepsi negatif terhadap SPR.

Secara konklusinya, kami di #KLChronicle yakin bahawa SPR telah melakukan perkara yang betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dalam berkenaan persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak. Oleh itu, adalah wajar SPR melalui Pejabat Peguam Negara mengemukakan rayuan dalam kes ini supaya kebenaran dapat dibuktikan. Kami juga kagum dengan sikap BERSIH 2.0 dan PKR yang dengan senang dapat menerima keputusan mahkamah kali ini yang berpihak kepada mereka. Jika sebelum ini keputusan mahkamah tidak berpihak kepada mereka, pelbagai fitnah dan tohmahan pula yang diberikan. 

Sesungguhnya kebenaran dalam hal ini akan terbongkar juga dan SPR akan terbukti benar dalam isu ini. 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget