KL CHRONICLE: Isu Dibangkitkan adalah keadaan daif sekolah di Kawasan Pedalaman, Kenapa pula masuk cerita hal politik?

Friday, May 29, 2015

Isu Dibangkitkan adalah keadaan daif sekolah di Kawasan Pedalaman, Kenapa pula masuk cerita hal politik?

Komen Datuk Dr. Fuad Zarkashi di Facebook beliau berkaitan keadaan fizikal sekolah di Keningau, Sabah yang berada dalam keadaan daif

Semalam ahli UMNO seluruh negara dikejutkan dengan kenyataan media Ketua Pemuda Segambut,  Saudara Ahmad Baidzawi Bin Salleh yang telah membidas kenyataan terbuka Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Fuad Zarkashi di Facebook yang kononnya telah mengkritik kepimpinan Menteri Pendidikan yang dilihat "malas" dalam melakukan tanggungjawab yang diamanahkan.



Pendapat peribadi saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudara Baidzawi ini lebih kepada "kenyataan politik" dimana perkara pokok yang dibangkitkan oleh Saudara Baidzawi adalah sikap Datuk Dr. Fuad Zarkashi yang kononnya "tidak menghormati" Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan. Inilah yang terjadi apabila segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO hanya dilihat dari sudut politik dan bukan dari sudut pembangunan negara.

Sudah tentu Saudara Baidzawi sebagai pemimpin Pemuda UMNO perlu memperlihatkan diri beliau sebagai seorang "pejuang" yang boleh diharap dan berguna oleh barisan kepimpinan tertinggi parti, dalam isu ini kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Presiden UMNO. Ini saya faham. Ini dipanggil "political manoeuvring".

Namun apa yang saya gagal faham adalah  mengapa kenyataan Saudara Baidzawi ini langsung tidak menyentuh isu utama yang dibangkitkan oleh Datuk Dr. Fuad Zarkashi iaitu keadaan fizikal Sekolah Pedalaman yang sungguh daif sehingga menjejaskan pembelajaran anak muda bangsa bumiputera. Bagi saya, ini adalah isu yang patut diberi perhatian oleh Saudara Baidzawi dan bukannya isu remeh berkaitan hal politik dalaman parti.

Saya percaya Saudara Baidzawi tahu bahawa kejayaan UMNO-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) adalah disebabkan oleh sokongan padu rakyat Sabah terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Presiden UMNO Datuk Seri Haji Najib  Tun Razak. Sokongan padu dari Sabah juga kekal sehingga ke saat ini apabila hampir 40,000 rakyat Sabah turun menyambut Perdana Menteri di Kota Belud beberapa minggu yang lalu.

Jika betul Saudara Baidzawi mahu berbicara dari perspektif politik, sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan mendesak Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri supaya bersikap lebih rajin dan proaktif dalam menyelesaikan isu fizikal sekolah di bandar, luar bandar dan terutamanya kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak kerana kawasan ini merupakan "fixed deposit" Barisan Nasional.

Melainkan beliau mahu Perdana Menteri hilang sokongan dari kedua negeri ini sekaligus menyebabkan Barisan Nasional rebah pada PRU-14 yang akan datang? Wallahualam.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget