KL CHRONICLE: Penahanan ISA 2008 sah, mahkamah arah @TeresaKok bayar RM50,000

Thursday, April 23, 2015

Penahanan ISA 2008 sah, mahkamah arah @TeresaKok bayar RM50,000




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan hari ini tindakan polis menahan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008 adalah sah dari segi undang-undang.

Hakim Datuk Su Geok Yiam memberitahu mahkamah menolak tuntutan saman Kok dengan menyatakan polis mempunyai kuasa menahan plaintif di bawah Seksyen 73 (1), ISA.



Selain itu, mahkamah juga memutuskan Kok perlu membayar kos sebanyak RM50,000 kepada kerajaan.

Pada 12 September 2008, Kok memfailkan saman terhadap Tan Sri Syed Hamid Albar di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Kok turut menamakan bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan, pegawai polis DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Kok ditahan mengikut ISA selepas aduan dibuat mendakwa beliau telah menegur masjid untuk memperlahankan azan kerana mengganggu orang lain.

Susulan keputusan mahkamah itu peguam Kok, SN Nair berkata, anak guamnya akan memfailkan rayuan untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Beliau berkata, meskipun kesal dengan keputusan mahkamah tinggi tersebut, beliau mengakui sudah menjangkakannya.

"Hakim sendiri menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kam Teck Soon (2002), yang memutuskan kuasa polis untuk menangkap dan menahan di bawah ISA tidak boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang.

"Jadi, seperti apa yang polis lakukan tidak akan salah, sepertimana undang-undang ISA itu," katanya kepada pemberita di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kok dalam reaksinya berhubung keputusan mahkamah itu menyifatkan beliau kononnya mangsa kepada penahanan dan keputusan mahkamah yang salah.

Meskipun mengakui kecewa dengan keputusan mahkamah itu, Kok menegaskan akan membawa semula kes tersebut di mahkamah rayuan.

"Kos RM50,000 yang perlu saya bayar amat "tidak masuk akal," katanya.

Kok ditangkap oleh polis di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower, OUG Heights, pada 11.15 malam, 12 September 2008.
  
Katanya, pada 2 pagi 13 September di balai polis Wangsa Maju, beliau dimaklumkan yang beliau ditahan mengikut seksyen 73(1) ISA kerana melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan rusuhan kaum. 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget