KL CHRONICLE: Tinjauan menunjukkan parti berasaskan kaum seperti PAS dan DAP semakin tidak relevan

Monday, March 16, 2015

Tinjauan menunjukkan parti berasaskan kaum seperti PAS dan DAP semakin tidak relevan



Tinjauan menunjukkan pengundi amat mahukan parti politik menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia berbanding yang hanya menjaga kepentingan kaum dan agama walaupun parti seperti PAS dan DAP meneruskan politik berasaskan kaum untuk mendapatkan sokongan.

Tinjauan mendapati, retorik kaum yang digunakan parti-parti ini tidak konsisten dengan apa dimahukan rakyat Malaysia. Sebanyak 76.9% daripada responden mengatakan mereka lebih berminat dengan parti yang inklusif kepada semua berbanding menumpukan hanya kepada komuniti mereka.



Tinjauan dilakukan Merdeka Center itu mendapati pengundi yang mahukan ini terdiri daripada pelbagai kaum, umur dan kepercayaan politik.

Jika dilihat daripada pecahan etnik, 67.5% Melayu, 91.4% Cina dan 89.2% India yang ditinjau mengatakan mereka lebih menyukai parti yang menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia.


Hanya 27.8% Melayu mengatakan sebaliknya walaupun terdapat peningkatan kelantangan kumpulan pendesak Melayu seperti Perkasa dan Isma yang mendakwa mewakili ribuan ahli dan mendesak Umno berbuat lebih untuk mempertahankan etnik majoriti itu.

“Apa yang Pakatan Rakyat perjuangkan, parti berasaskan kaum semakin tidak relevan di kalangan pengundi. Walaupun di kalangan Melayu, hanya penyokong tegar mahukan politik berasaskan kaum,” kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

Dan walaupun pemimpin pembangkang semakin berhaluan kanan, 73.4% rakyat ditinjau mengatakan mereka mahukan parti yang menjaga semua kaum.

Sementara 77% responden masih belum membuat keputusan tentang parti mana untuk disokong dan mengatakan parti mewakili semua kaum mungkin mewakili mereka semasa pilihan raya.

Kebanyakan rakyat Malaysia juga berkata, kualiti utama mereka mahu lihat daripada calon semasa pilihan raya adalah yang mempunyai hubungan baik dengan semua kumpulan etnik.

 “Daripada tinjauan ini, amat jelas PR ketinggalan dan cuba menyesuaikan diri dengan orang ramai yang sudah lebih terbuka kepada parti tidak berasaskan kaum dan mahukan parti menjaga semua rakyat Malaysia,” kata Ibrahim.

“Dan terdapat sebahagian besar yang tidak terlibat dengan mana-mana parti dan melihat apa ahli politik boleh lakukan. Rakyat Malaysia jenis ini tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, mereka boleh membuat keputusan sendiri,” katanya.

Bagaimanapun Ibrahim berkata ini tidak semestinya merupakan pengakhiran kepada BN kerana ramai rakyat Malaysia yang tidak berminat terus menjaga prestasi.

“Penyokong mereka berfikir ‘betul saya tidak setuju dengan politik BN, akan tetapi saya masih boleh makan dan ia memberikan pekerjaan dan ia menghalang pihak lain untuk mengambil alih. Jadi, orang masih mengundi mereka,” kata Ibrahim.

Tinjauan ini melibatkan 1,008 responden yang layak mengundi, ditemu bual melalui telefon dari 21-30 Januari dan dipilih secara rawak berstrata mengikut etnik, jantina, umur dan kawasan Parlimen.

Semua kawasan Parlimen mengambil bahagian dan pemilihan responden bersesuaian dengan bilangan penduduk. – 16 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tinjauan-menunjukkan-parti-berasaskan-kaum-semakin-tidak-relevan#sthash.k8yOKh67.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget