KL CHRONICLE: Surat penolakan hukum hudud kepada Nik Aziz (1994) – Dr Mahathir Mohamad

Friday, March 20, 2015

Surat penolakan hukum hudud kepada Nik Aziz (1994) – Dr Mahathir Mohamad



Kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang ditunjukkan baginda Rasulullah. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidin dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum jenayah.

Jalan yang diambil kerajaan pusat ini juga berpandukan kepada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kepada kepentingan ramai (muslihat umum)".



Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak meyakinkan pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah dan para sahabat.

Sepertimana Yang Amat Berhormat (YAB) sendiri sedia ketahui, keadilan adalah asas paling utama ditekankan agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai keadilan sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan dalam ajaran lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya pada zaman itu.

Tidak perlu bagi saya menyatakan di sini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat mencela sebarang jenis kezaliman. Di samping itu Al-Quran juga sentiasa menggesa dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemar mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan saja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan saja menyebabkan ketidakadilan akan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kepada keterangan berikut:

(i) Dakwaan undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam saja dan tidak diguna pakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar pada zaman Nabi Muhammad, orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbeza dengan hukum Al-Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Sehubung itu tidak ada perbezaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi pada zaman Nabi Muhammad. Tetapi terdapat perbezaan yang amat ketara antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan kerajaan PAS di Kelantan.

Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya bertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kepada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini bukti dia berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat 4 saksi (yang terdiri daripada orang yang baik, tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan melihat dengan terang dan jelas yang dituduh merogol wanita berkenaan.

Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia di waktu mana orang Serbia merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di depan saksi yang terdiri daripada orang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah Serbia bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi di sebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.

Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan ia adalah satu kezaliman yang dahsyat.

Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kepada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolak sebarang kezaliman. Kerajaan pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran dan amalan Islam daripada semua aspek tanpa diheret kehendak organisasi politik yang mempunyai kepentingan lain daripada Islam dan kepentingannya .

Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur ketidakadilan dikuatkuasakan di negara ini, dan jika ia dikatakan itulah hukum hudud Islam maka umat Islam dan juga ahli masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk umatnya. Ia juga memberi gambaran buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang Islam di kalangan penganut agama lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.

Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai Islam tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan umatnya. – 20 Mac, 2015.

* Surat bertarikh 8 Jun, 1994 ini diutus Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri pada masa itu kepada allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget