KL CHRONICLE: PAS Tetap Akan Teruskan Hudud, Tolak Desakan @dapmalaysia

Sunday, March 15, 2015

PAS Tetap Akan Teruskan Hudud, Tolak Desakan @dapmalaysia



Rancangan Hudud akan tetap dibentangkan dan tidak ada sebarang perubahan dibuat kepada draf pindaan seperti yang dikemukakan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS Kelantan tidak akan menangguhkan rancangannya untuk membentangkan pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang minggu depan semata-mata untuk menyenangkan hati DAP.



“Kita akan teruskan dengan meminda undang-undang berdasarkan draf tersebut pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan datang,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, Jumaat.

Menurut Mohd Amar kebimbangan yang disuarakan oleh Gobind Singh Deo jika apa yang dibentangkan oleh PAS Kelantan merupakan undang-undang baharu dan bukannya pindaan adalah pendapatnya sendiri.

Beliau menegaskan bahawa, isu yang di katakan oleh Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu adalah tidak benar sama sekali.

“Apa yang kita bentangkan ialah pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah II 1993 dengan hanya tiga pindaan utama,” katanya lapor mStar Online.

Gobind pada Khamis menggesa PAS menimbang semula rancangannya untuk membentangkan pindaan yang dicadangkan itu.

Menurut Gobind, draf itu dilihat lebih seperti cadangan untuk enakmen baru dan bukan pindaan kepada akta sedia ada.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat itu membincangkan mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh sekutu Pakatan, terutamanya DAP, tetapi memutuskan bahawa pembentangan pindaan akan diteruskan seperti yang dirancang.

“Kami akan berpegang kepada draf yang dikemukakan kepada Majlis Pakatan Rakyat tanpa apa-apa perubahan,” katanya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget