KL CHRONICLE: Pengerusi @BKH_ppum @RahmanHussin Serahkan Memorandum Cadangan Mengenai Isu Harga Barang Kepada Hassan Malek

Friday, February 6, 2015

Pengerusi @BKH_ppum @RahmanHussin Serahkan Memorandum Cadangan Mengenai Isu Harga Barang Kepada Hassan Malek

@RahmanHussin menyerahkan memorandum kepada Menteri KPDNKK
MEMORANDUM KEPADA YBM KPDNKK, DATO SRI HASSAN MALEK BERKAITAN CADANGAN MENGENAI ISU HARGA BARANG

A. Pengenalan

1. Isu harga minyak merupakan isu yang sering diperkatakan. Malahan ia menjadi salah satu alasan yang diberi kepada pengguna oleh peniaga untuk menjustifikasikan kenaikan harga barang.



2. Namun begitu, pola penurunan harga minyak sejak Sistem Pengapungan Terurus diperkenalkan tidak menyaksikan sebarang penurunkan kepada harga barangan dan makanan. Justeru itu, ia telah menimbulkan persoalan kepada pengguna mengapa harga masih tidak menurun walaupun harga minyak telah berkurangan.

3. Menyedari hakikat bahawa harga minyak bukanlah penyebab utama kepada kenaikan harga barangan, malah ianya hanya alasan yang kerap digunapakai bagi mengalih kesalahan kepada pihak kerajaan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (“PPUM”) berpendapat bahawa pihak pengguna perlu diperkasakan dengan maklumat yang tepat bagi membolehkan mereka menjadi pengguna yang bijak, berhemah dan tahu akan hak-hak mereka yang dilindungi di bawah undang-undang serta dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (“KPDNKK”).

4. Selain daripada itu, pihak PPUM juga melihat perlunya ada langkah yang lebih drastik yang perlu diambil selain dari memperkasakan pengguna. Langkah tersebut berkait rapat dengan membanteras manipulasi pasaran oleh orang tengah dalam rantaian pembekalan, pakatan antara persatuan-persatuan peniaga yang memanipulasi harga dan juga kartel-kartel yang mengawal pembekalan barangan sehingga mereka mampu menganggu harga barangan di pasaran terutama ketika musim perayaan. Pihak PPUM telah mengemukan komen dan pandangan mengenai isu kenaikan harga barang dan dengan jelas telah menetapkan pendirian bahawa tindakan tegas perlu diambil untuk menangani isu ini.

5. Memorandum ini akan menggariskan cadangan pihak PPUM berhubung isu harga barang yang boleh dilaksanakan oleh pihak KPDNKK.

6. PPUM memandang serius akan isu harga barang ini kepada rakyat Malaysia dan menyarankan agar dipertimbangkan secara teliti cadangan yang disyorkan dan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan isu harga barang ini memberi keadilan kepada para pengguna.

B. Memberi Tekanan Kepada Peniaga, Pengilang, Pengusaha dan Pemegang Lesen-Lesen Pengeluar Barangan

Menyedari bahawa terdapat segelintir pihak di dalam rantaian pembekalan mengambil kesempatan dengan memanipulasi bekalan dan harga bagi mengaut keuntungan yang melampau, perhatian perlu diberikan bagi memastikan golongan ini mematuhi undang-undang dan mengelakkan berlakunya manipulasi harga barangan.

Komen dan cadangan khusus dari pihak PPUM langkah dalam memberi tekanan kepada pihak berkenaan adalah seperti berikut:

1. Pertemuan bersama persatuan-persatuan peniaga, pengilang, pengusaha dan pemegang lesen-lesen pengeluar barangan. Pertemuan serta perbincangan dengan pihak persatuan adalah bertujuan bagi memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan realiti sebenar mekanisme rantaian pembekalan dari sudut pembekal, pengusaha dan pengeluar. Dapatan daripada perbincangan ini akan diambil kira bagi merangka dasar yang lebih menyeluruh dalam mekanisme menyelia rantaian pembekalan oleh kerajaan serta dalam menjalankan kempen kesedaran kepada pengguna. Pertemuan ini juga adalah bagi meminta pihak-pihak berkenaan untuk meletakkan harga barangan mereka pada harga yang berpatutan seriring dengan situasi semasa. Pihak KPDNKK juga perlu menegaskan bahawa tindakan keras akan diambil bagi sebarang persatuan atau pihak yang berkomplot untuk memanipulasikan harga sama ada dengan pembekuan dan penarikan lesen.

2. Pemantauan dan Penguatkuasaan. Pihak KPDNKK mempunyai kuasa untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang disyaki melanggar undang-undang yang ada. Walaupun pihak KPDNKK telah menjalankan tanggungjawab dalam mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak beretika, pemantauan dan pengkuatkuasaan harus diperluaskan kepada pembekal, pengusaha dan pengeluar barangan terutama pihak yang menguasai majoriti pasaran barangan. Hal ini supaya pengeluar akan meletakan harga yang berpatutan bagi produk mereka sebelum sampai ke peringkat pengedar kerana ramai peniaga dan pengedar memberi alasan bahawa pihak pengeluar mengenakan harga yang tinggi dan menyebabkan kos meningkat dan pihak peniaga terpaksa menaikan harga mereka bagi menampung kos tersebut.

3. Menyenarai hitamkan Pengusaha yang melanggar undang-undang. . Pihak PPUM mencadangkan agar pihak KPDNKK menyenarai hitamkan pihak pengeluar yang telah didapati bersalah melanggar undang-undang dan mengeluarkan senarai tersebut kepada pihak umum supaya pengguna dapat membuat keputusan yang bijak dengan mengelakkan diri dari berurus niaga dengan pihak ini dan elak dari risiko dimanipulasi.

C. Memperluas alternatif barangan yang menawarkan harga yang lebih berpatutan kepada pengguna.

PPUM menyambut baik usaha yang telah dijalankan kerajaan untuk menawarkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan barangan pada harga yang berpatutan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Pasar Tani dan lain-lain. Namun begitu, pihak PPUM berpendapat usaha meluaskan alternatif ini boleh diperluaskan lagi.

Komen dan cadangan khusus dari pihak PPUM berkenaan deraf yang dikeluarkan oleh pihak Majlis ini adalah seperti berikut:

1. Karnival jualan murah barangan keperluan harian di setiap negeri. Karnival jualan murah barangan keperluan harian terus dari pembekal boleh dilaksanakan bagi memberi akses kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan terus dari pembekal tanpa perlu melalui orang tengah yang hanya akan meningkatkan kos kepada harga jualan kepada pengguna. Pihak KPDNKK boleh bekerjasama dengan pembekal-pembekal untuk memasarkan barangan mereka di karnival yang berkonsepkan seperti Ekspo MAHA yang mengumpulkan pelbagai pengusaha yang menawarkan harga murah serta penerima-penerima Anugerah Kedai Harga Patut yang dianugerahkan oleh KPDNKK.

2. Pembukaan kedai oleh pihak pengeluar. Pihak PPMU mencadangkan agar pihak KPDNKK berbincang dengan pihak pengeluar untuk membuka kedai mini bagi pengguna yang tinggal berhampiran untuk mendapatkan barangan terus dari pengeluar tanpa melalui orang tengah ataupun melalui rantaian pembekalan yang hanya akan meningkatkan harga barangan akibat dari kos-kos yang terlibat dalam rantaian pembekalan.

3. Mempergiat dan memperluaskan produk dan inisiatif kerajaan kepada pengguna. Pihak PPUM mengakui bahawa terdapat pelbagai produk dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan melalui KPDNKK yang memberi manfaat kepada pengguna. Inisiatif seperti aplikasi atas talian yang membolehkan pengguna menyemak dan membandingkan harga barang, senarai premis dan kedai yang menawarkan harga murah, serta aplikasi yang memudahkan pengguna membuat aduan amatlah membantu pengguna dalam usaha berbelanja secara berhemah dan memperkasakan mereka untuk menjadi pengguna bijak. Namun begitu, masih terdapat pengguna yang tidak sedar akan inisiatif yang telah dilaksanakan KPDNKK. Oleh itu, pihak PPUM menyarankan agar pihak KPDNKK menjalankan kempen kesedaran akan inisiatif yang menyasarkan pengguna terutama semasa musim perayaan dan juga di kawasan tumpuan pengguna seperti di pusat membeli belah dan juga pasaraya. Pihak PPUM sudi untuk turut sama menyertai pihak KPDNKK dalam usaha mempromosikan dan berkempen kepada orang ramai mengenai inisiatif yang telah dilaksanakan.

D. Memperkasakan Akta dan Undang-Undang sedia ada

1. Akta Persaingan 2010. Pihak PPUM menyarankan agar beberapa pekara yang boleh dilaksanakan di bawah akta ini seperti:

a. Seksyen 11. Kuasa untuk menjalankan kajian semula pasaran. Dibawah peruntukan Seksyen 11 (1), Suruhanjaya boleh, atas inisiatifnya sendiri atau atas permintaan Menteri, menjalankan suatu kajian semula terhadap mana-mana pasaran untuk menentukan sama ada apa-apa ciri atau gabungan ciri pasaran itu menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan dalam pasaran. Oleh itu, pihak PPUM menyarankan agar Yang Berhormat Menteri agar mengunapakai peruntukan yang diberi untuk melaksanakan kajian semula pasaran mengenai barangan keperluan harian terutama makanan bagi melihat jika wujud sebarang manipulasi harga oleh pihak-pihak tertentu. Pihak PPUM juga berharap dapatan dari kajian tersebut dihebahkan kepada umum secara meluas di media massa bagi memberi tekanan dan pencegahan kepada sebarang niat dari pihak tertentu untuk memanipulasi pasaran.

b. Seksyen 34. Ancaman dan tindakan balas dilarang. Dibawah Seksyen 34, terdapat diperuntukan perlindungan bagi si pengadu dan juga pemberi maklumat bagi membantu siasatan di bawah akta ini. Pihak PPUM mencadangkan agar diberikan diperluaskan pelindungan kepada pengadu dan juga bagi pemberi maklumat dari segi identitinya dirahsiakan dan dari dikenakan sebarang tindakan dari pihak majikan akibat memberikan kerjasama dalam siasatan terhadap majikannya yang disyaki melanggar akta ini.

c. Seksyen 40. Dapatan pelanggaran. Pihak PPUM mencadangkan agar dimaktubkan di dalam akta bahawa selain dari hukuman penalti 10% maksimum daripada perolehan seluruh dunia perusahaan itu selama tempoh semasa pelanggaran itu berlaku, pihak yang bersalah juga boleh dikenakan hukuman lesen dibekukan atau ditarik jika didapati bersalah.

2. Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011. Pihak PPUM menyarankan agar beberapa pekara yang boleh dilaksanakan di bawah akta ini seperti:

a. Seksyen 4. Kuasa Pengawal untuk menentukan harga barangan & Seksyen 5. Kuasa Pengawal untuk menentukan caj bagi perkhidmatan. Pihak PPUM mencadangkan agar peruntukan ini digunakan sewaktu musim perayaan bagi barangan keperluan dan makanan yang mempunyai permintaan yang tinggi, sewaktu barangan keperluan dan makanan mengalami kekurangan bekalan dan sekiranya berlaku bencana sehingga terbuka kepada manipulasi harga. 

b. Memperluaskan senarai barang harga kawalan yang dikuatkuasakan melalui Akta ini. Pihak PPUM mencadangkan agar diperluaskan senarai barang meliputi barangan keperluan asas selain dari gula gula putih bertapis kasar dan halus seperti tepung dan minyak masak.

c. Memperhebatkan siasatan. Pihak PPUM mengesa agar diperhebatkan siasatan terhadap sebarang aktiviti yang melanggar aktiviti ini tanpa menunggu aduan dan aktiviti penyiasatan dijadikan sebagai KPI utama bagi kementerian.

d. Seksyen 15. Mekanisma menentukan keuntungan tinggi yang tidak munasabah. Pihak PPUM mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri untuk menentukan mekanisma menentukan keuntungan tinggi yang tidak munasabah dan jenis mekanisma yang berlainan boleh ditetapkan untuk memenuhi keadaan dan hal keadaan yang berlainan sebagaimana yang difikirkan patut.

e. Seksyen 62. Perlindungan pegawai dan orang lain. Pihak PPUM mencadangkan agar diberikan diperluaskan pelindungan kepada pengadu dan juga bagi pemberi maklumat dari segi identitinya dirahsiakan dan dari dikenakan sebarang tindakan dari pihak majikan akibat memberikan kerjasama dalam siasatan terhadap majikannya yang disyaki melanggar akta ini.

3. Sehubungan itu, PPUM menyarankan agar pihak KPDNKK memperhebatkan usaha untuk mengawal kenaikan harga barang agar tidak berada di luar kawalan dan memberi impak kepada para pengguna.
Tarikh: 6 Februari 2015

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget