KL CHRONICLE: Kini Mufti Perlis sokong PAS dan Umno bergabung

Tuesday, February 24, 2015

Kini Mufti Perlis sokong PAS dan Umno bergabung

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata kerjasama antara PAS dan Umno akan dilihat sebagai usaha yang membawa ke arah kebaikan dan dianggap sebagai suruhan agama dan perlu dilaksanakan secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Februari, 2015.
Datuk Dr. Asri Zainul Abidin mahu lihat Islam bersatu dibawah panji UMNO & PAS

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menyarankan PAS membentuk kerajaan campuran bersama dalam usaha menjayakan matlamat parti Islam itu yang selama ini berjuang memperbaiki politik Umno.

Beliau berkata, kerjasama antara PAS dan Umno dilihat sebagai usaha yang membawa ke arah kebaikan dan dianggap sebagai suruhan agama dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.



"PAS berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik Umno, mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan," kata Asri dalam tulisan di. Facebooknya awal pagi ini.

" Ia satu projek islah siasah parti lawan dan juga segala kelemahan diri sendiri."

Mufti Perlis itu menulis di laman Facebook sebagai reaksi terhadap cadangan  seorang pemimpin PAS‎ yang mahu parti Islam tersebut bergabung dengan Umno.

Sebelum ini, ‎pemimpin PAS Terengganu Roslan Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi berkata kerjasama PAS dan BN bagi membentuk  kerajaan persekutuan seterusnya melaksanakan hukum hudud secara sistematik.

Asri melalui tulisannya memberikan tujuh sebab bagi menyokong hujahnya mengenai kerjasama antara PAS dan Umno.

Katanya kerjasama antara dua parti tersebut bukan bermakna identiti PAS mahupun Umno dihapuskan sama sekali.

Katanya dengan gabungan antara kedua parti tersebut membolehkan PAS dan Umno menegur sesama sendiri ke arah kebaikan.

‎"Tetapi gabungan yang mengekalkan identiti namun sering 'pesan memesan kepada kebenaran dan kepada kesabaran'," katanya.

Tambahnya krisis yang dihadapi PAS hanya akan menggugat kepercayaan rakyat yang selama ini mahukan persaingan sihat antara kerajaan dan pembangkang

"Jika PAS terus berkrisis seperti sekarang yang boleh membawa pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang, yang akan melemahkan persaingan sihat dan menjadikan suatu pihak akan begitu dominan," katanya.

Beliau berkata, gabungan antara PAS dan Umno bakal mewujudkan politik idea yang baru di negara ini apabila kerajaan akan mempunyai saingan daripada dalaman dan pembangkang dapat membuka ruang kepada ‎'platform' baru politik menggantikan tempat PAS.

"Banyak (common ground) antara PAS dan Umno selama ini, terutama di sudut aliran kefahaman Islam kedua parti itu. Hanya bahasa yang berbeza, tapi isi mereka banyak yang sama.

"Golongan Muslim yang lebih progresif mungkin akan mempunyai ruang baru yang jelas di medan siasah dengan hilangnya bayangan Islam PAS yang selama ini dilihat pelbagai versi," katanya.

Katanya gabungan tersebut turut dilihat sebagai medan rakyat menguji kejujuran politik antara kedua parti Melayu-Islam itu dan penilaian secara matang dapat dilakukan.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget