KL CHRONICLE: Ketua polis negara @KBAB51 tak gentar ugutan bunuh, ikrar tindakan tegas

Wednesday, February 25, 2015

Ketua polis negara @KBAB51 tak gentar ugutan bunuh, ikrar tindakan tegas



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan tidak gentar dengan ugutan bunuh terhadapnya daripada sekumpulan lelaki di Internet dan berikrar akan mengambil tindakan terhadap mereka.

Khalid berkata ugutan dan ancaman merupakan lumrah kehidupan seorang polis yang menjalankan tugas.



"Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai ketua polis negara dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada ke atas sesiapa sahaja yang menggugat keamanan yang kita kecapi selama ini."

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Anak Malaysia Anti Demokrasi (Amad) bertindak memuat naik klip video ugutan bunuh terhadap Khalid sebagai desakan untuk beliau meletakkan jawatan.

Video berdurasi 1.27 minit dimuat naik di YouTube, memaparkan 3 individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan sementara 2 lagi memakai topeng muka.


Mereka memberikan amaran dalam bahasa Melayu sambil memegang sekeping kertas memaparkan wajah individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Adakah rakyat Malaysia boleh menukar pengerusi SPR melalui proses demokrasi? Adakah rakyat Malaysia boleh menukar ketua hakim negara melalui proses demokrasi dan adakah rakyat Malaysia boleh menukar ketua polis negara melalui proses demokrasi?

"Tidak, manusia-manusia inilah perosak ejen demokrasi!" kata kumpulan terbabit menerusi video tersebut.

Khalid turut menyifatkan penyiaran video ugutan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, ia menunjukkan kumpulan itu tidak mengenal erti sebenar sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Khalid juga berkata polis sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan identiti pengugut itu. –

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget