KL CHRONICLE: Senarai Penerima Pingat dan Bintang Negeri Sembilan

Wednesday, January 14, 2015

Senarai Penerima Pingat dan Bintang Negeri Sembilan



Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah (gambar) mengetuai senarai 812 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan sempena ulang tahun ke-67 keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.

Baginda menerima Darjah Kerabat Negeri Sembilan (DKNS).



Dua menerima Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SUNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Mereka ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Hashim Aman dan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba.

Penerima tunggal Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) ialah Tengku Syarif Bendahara Perlis Datuk Seri di-Raja Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sime Darby Bhd Tan Sri Mohd Bakke Salleh adalah dua penerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pingat SSNS ini pertama kali diperkenalkan tahun ini.

Dua anggota exco negeri Tun Hairudin Abu Bakar dan L.Manickam adalah antara 12 penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Datuk.

Turut dikurniakan DPNS ialah Setiausaha Agung Pembangunan Getah Antarabangsa Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir; Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan Iskandar Ali Dewa; dan Presiden Kumpulan dan CEO Maybank Datuk Abdul Farid Alias.

Penghulu Luak Ulu Muar Mansor Yusof dan Penghulu Luak Terachi Mohamad Nasir Nordin adalah antara enam penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Datuk.
Seramai 25 orang dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengarah Jabatan Audit Johor Abd Wahab Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Mardi Dr Azizan Ab Rashid, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Selamat Paigo, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah.

Turut menerima DBNS ialah bekas atlet dan jurulatih olahraga kebangsaan Anthony Edwin Abraham, Timbalan Naib Canselor UKM Prof Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah Orang Kaya Rahmat, dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor SAC Hasanuddin Hassan.

Seramai 43 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Adun Gemencheh Mohd Isam Mohd Isa, bekas Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Samsudin Hamidan, Adun Paroi Mohd Ghazali Abd. Wahid, dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sembilan Mejar (B) Sazali Ismail.

Penerima tunggal Darjah Tuanku Muhriz (DTM) ialah Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saifulruddin Wan Jan.

Sementara itu, sebanyak 16 orang dianugerahkan Darjah Pekerti Terpilih (DPT).

Ketua Meja Penyuntingan Bahasa Melayu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Rohana Mustaffa adalah antara 94 penerima Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS).

Dua dikurniakan Setiawan Tuanku Muhriz (STM).

Sebanyak 223 menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PCM), 353 Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 22 Pingat Khidmat Lama (PKL) dan sembilan orang menerima Bentara Tuanku Muhriz (BTM). – Bernama, 14 Januari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget