KL CHRONICLE: Kini PAS cabar @cmLimGuanEng berdebat isu hudud, pilihan raya PBT

Wednesday, January 28, 2015

Kini PAS cabar @cmLimGuanEng berdebat isu hudud, pilihan raya PBT

Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali menyeru Lim Guan Eng berdebat tentang isu pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) dan hudud selepas dikatakan tidak bercakap benar apabila memberi kenyataan tentang isu tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Januari, 2015.

Lim Guan Eng dicabar berdebat secara terbuka selepas setiausaha agung DAP itu didapati bercakap separuh benar dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) dan hudud, kata Datuk Mustafa Ali.

Setiausaha agung PAS itu berkata tuduhan Lim yang mendakwa dirinya tidak jujur ketika membuat kenyataan mengenai pilihan raya PBT tidak benar sama sekali dan ia hanya membayangkan keceluparan Lim.



"Oleh sebab isu hudud terseret begitu lama dan ditambah dengan isu pilihan raya PBT, saya mencadangkan adakan debat terbuka antara saya dengan Lim supaya masing-masing dapat menjelaskan perspektif sebenar mengenainya.

“Supaya orang ramai boleh menilai siapa bercakap benar dan siapa bercakap bohong," kata Mustafa dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Mustafa menjawab tuduhan Lim yang mendakwa dirinya tidak bercakap jujur dalam isu pilihan raya PBT selepas ketua menteri Pulau Pinang itu mendakwa Mustafa dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah dihubungi dan tidak membantahnya.

"Saya akui memang Lim menelefon saya berkait dengan pilihan raya PBT tetapi selepas enakmen itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang," kata Mustafa.

"Jadi dia telefon saya, jika ada media yang meminta komen mengenainya, tolong komen yang positiflah.”

Saya jawab, "Insya Allah."

Mustafa berkata menurut Lim, enakmen itu dibuat selepas mendapat tekanan dari NGO yang meminta ia dilakukan kerana ada dalam manifesto DAP.

Beliau menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan komen terlebih dahulu mengenai isu tersebut sebelum apa-apa komen diberikan kepada pihak media.

Katanya, Lim sendiri pernah dimaklumkan SPR tidak akan bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di Pulau Pinang.

"Lepas itu, saya berdiam diri kerana saya jangka SPR tidak akan bersetuju dengannya. Bagi saya tidak perlu kita membuat heboh yang menjadikan suasana tidak harmoni dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Mustafa berkata, kali pertama beliau diberitahu tentang enakmen ini oleh wakil tunggal PAS dalam DUN Pulau Pinang, iaitu Datuk Salleh Man, lebih awal daripada Lim.

“Dia telefon ketika DUN Pulau Pinang sedang bersidang dan memaklumkan ada satu enakmen yang akan dibentangkan dalam DUN dan diminta bercakap mengenainya.

"Dia bertanya, adakah ia sudah diluluskan di peringkat pusat dan saya berkata, tidak ada sebarang 'endorsement' daripada peringkat pusat.

"Saya kata, oleh sebab tidak ada persetujuan tentang perkara ini, sebaik-baik jangan bercakap supaya tidak timbul soal sokong atau tidak sokong mengenainya,” kata Mustafa.

Beliau berkata Salleh diminta mengelak daripada mengundi usul berkenaan dan perlu menganggap ia sebagai satu arahan.

Katanya, jika Lim mentafsirkan panggilan telefon berkenaan sebagai tanda persetujuan PAS, beliau juga boleh mentafsirkan satu panggilan telefon kepada Lim untuk menjelaskan isu hudud dan tiada bantahan DAP sebagai satu persetujuan.

Mustafa berkata sebelum itu Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke turut dimaklumkan keputusan PAS dan diminta supaya dimaklumkan kepada Lim.

"Saya beritahu Lim mengenainya keputusan PAS, termasuk cadangan diadakan Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat mengenainya.

"Lim berkata, kalau boleh serahkan enakmen itu kepada Jawatankuasa Teknikal untuk mereka lihat dan apa selanjutnya patut dilakukan.

"Maknanya penyertaan kerajaan Kelantan dalam Jawatankuasa Teknikal itu dipersetujui oleh Lim dan DAP," katanya.

Mengulas senario berkenaan, Mustafa berkata beliau tidak pernah berkata DAP bersetuju dengan hudud, cuma itu jalan keluar kemelut itu.

"Tetapi bagaimana dia boleh membuat kenyataan PAS sudah menyokong pilihan raya PBT selepas menelefon saya. Itu tidak tepat sebenarnya," kata Mustafa. – 28 Januari, 2015.

MENYUSUL LAGI

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-cabar-guan-eng-berdebat-isu-hudud-pilihan-raya-pbt#sthash.vEa0zCcU.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget