KL CHRONICLE: Kini CEO 1MDB Letak Jawatan Dengan Serta Merta

Monday, January 5, 2015

Kini CEO 1MDB Letak Jawatan Dengan Serta Merta




Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman meletakkan jawatannya hari ini dan akan digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy, pengurus bank dari Malaysia yang berpengkalan di Abu Dhabi, menurut sumber.

Arul, 38, akan dilantik sebagai presiden kumpulan dan pengarah eksekutif 1MDB. Beliau kini Naib Presiden Eksekutif, Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburan dan Ketua Bahagian Kewangan Korporat, bagi Abu Dhabi Commercial Bank sejak Julai 2008.



Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif RHB Investment Bank Bhd Malaysia dari Julai 2009 hingga 10 Mei 2011, dan dalam tempoh masa sama, sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif RHB Capital Bhd, selain sebagai pengarah RHB Islamic Bank Bhd.

Hazem menyertai 1MDB, syarikat pelaburan strategik negara itu, sebagai Ketua Pegawai Operasi pada Ogos 2012.

1MDB dilanda kontroversi berhubung portfolio hutangnya dan kerana menyimpan sejumlah RM7.18 bilion di Kepulauan Cayman.

Pada tahun lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata 1MDB sudah mengembalikan 60% daripada dananya, dan baki 40% akan kembali ke Malaysia pada akhir 2014 walaupun ia mencatatkan pulangan sebanyak 6% hingga 7% setakat akhir tahun lepas.

Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata bulan lepas, tindakan menghantar pulang dana itu kembali ke Malaysia mungkin mendedahkan wang itu kepada turun naik pasaran pertukaran asing.

Ini berikutan penurunan nilai ringgit dalam tempoh 10 bulan yang lalu kepada RM3.52 berbanding satu dolar AS hari ini.

Dalam satu kenyataan pada 22 Disember, Lodin berkata, bagi mengekalkan kedudukan mudah tunai yang kukuh dengan portfolio global yang benar-benar pelbagai, dana itu dilaburkan dalam anak syarikat 1MDB yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.

"Bagaimanapun, syarikat itu sudah menebus kembali sebahagian besar daripada dana itu, iaitu AS$1.4 bilion (RM4.87 bilion), dan menjangka dapat menebus jumlah yang selebihnya pada bulan-bulan akan datang," katanya.

1MDB dikritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyatakan sebahagian besar wang daripada hutang yang diperolehi 1MDB dihantar ke Kepulauan Cayman, satu langkah yang dipertikaikan ramai pihak, termasuk pembangkang.

Pengkritik juga menegur kurangnya ketelusan dalam cara 1MDB menguruskan wang itu keluar ke Caymans, di mana dianggarkan sekurang-kurangnya RM18 bilion wang syarikat itu diletakkan di sana.

Lodin berkata, tiada yang luar biasa mengenai syarikat besar seperti 1MDB melabur dana mereka di Kepulauan Cayman, sambil menegaskan ia salah satu bidang kuasa kumpulan wang berdaftar terbesar di peringkat antarabangsa, dengan Pihak Berkuasa Kewangan Cayman diiktiraf sebagai salah satu pengawal selia dana terkemuka di dunia.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata pada 2009, 1MDB dan sebuah syarikat Arab Saudi menubuhkan usaha sama bagi memudahkan kerjasama ekonomi jangka panjang antara Malaysia dan Arab Saudi.

Satu dana usaha sama ditubuhkan bagi membuat pelaburan dalam projek yang akan menjana faedah kewangan dan strategik untuk kedua-dua negara, tetapi disebabkan pelbagai faktor, kedua-dua pihak tidak bersetuju dengannya.

Akibatnya, katanya, pelaburan 1MDB dalam syarikat itu ditukar kepada instrumen pendapatan tetap dalam bentuk nota Murahaba, yang pada dasarnya satu pinjaman, dengan kadar faedah tahunan 8.75%.

Beliau berkata pinjaman itu dibayar balik sepenuhnya, pada AS$2.318 bilion dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta pada 2013.

"Menghantar pulang dana ini ke Malaysia akan mendedahkannya kepada turun naik dalam pasaran pertukaran asing, seperti yang dapat dilihat ketika ini," katanya.

The Edge Financial Daily melaporkan bulan lalu, ringgit yang mengalami susut nilai akan menjejaskan 1MDB, yang sebahagian besar daripada RM42 bilion hutangnya dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Jumlah itu, RM22.25 bilion mengikut penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014, kini berkembang kepada kira-kira RM25.7 bilion – peningkatan kira-kira RM3.96 bilion – disebabkan kejatuhan ringgit pada kira-kira 6.5% pada tahun 2014. – 5 Januari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget