KL CHRONICLE: JAWI Buat U-Turn, Mungkin Batalkan Waran Tangkap Terhadap Peminat K-PoP

Thursday, January 22, 2015

JAWI Buat U-Turn, Mungkin Batalkan Waran Tangkap Terhadap Peminat K-PoP

Jawi dilaporkan mungkin akan membatalkan waran tangkap terhadap tiga gadis Melayu bertudung yang terlibat dalam 'peluk dan cium' di sebuah konsert K-Pop baru-baru ini. – Gambar daripada YouTube.


Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkemungkinan akan membatalkan waran tangkap kepada tiga gadis Melayu bertudung yang terbabit dengan aksi "peluk dan cium" ketika konsert kumpulan K-Pop dari Korea Selatan baru-baru, lapor Mstar Online.

Portal tersebut yang memetik sumber Jawi berkata, ‎keputusan itu dicapai ekoran sehingga ke hari ini, ketiga-tiga gadis tersebut masih tidak menyerahkan diri mereka secara sukarela.



"Kita sudah memberi mereka tempoh selama seminggu untuk tampil membantu siasatan. Tetapi sehingga ke hari ini mereka tidak berbuat demikian.

“Selepas berbincang, kita putuskan untuk tidak mengenakan waran tangkap ke atas mereka. Tetapi kita secara terbuka bersedia untuk memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada mereka,” katanya seperti dilaporkan portal Mstar Online hari ini
Susulan kontroversi konsert kumpulan B1A4 yang menjadi "viral" di media sosial, Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dilaporkan memberi tempoh seminggu kepada tiga gadis itu tampil untuk membantu siasatan atau waran tangkap akan dikeluarkan.

Video aksi pelukan dan ciuman antara ahli kumpulan K-Pop bersama tiga peminat wanita dimuat naik oleh portal "Sukan Star" dengan tajuk "gadis Melayu dicabul artis K-Pop?".

Utusan Malaysia minggu lalu melaporkan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Paimuzi berkata kepada The Malaysian Insider minggu lalu badan penguatkuasaan agama itu akan memfokuskan kepada kaunseling, memberi nasihat dan panduan, dan menambah itu merupakan niat mereka sejak awal lagi.

Paimuzi memberitahu, sehingga kini, gadis-gadis Melayu tersebut masih belum dikenal pasti dan mereka masih belum tampil untuk bertemu Jawi.

"Kami sudah panggil mereka untuk hadir dan berbincang kes ini bersama, untuk lihat jika mereka perlu sebarang bantuan daripada Jawi."

Beliau berkata, terpulang kepada gadis-gadis tersebut jika mereka mahu meminta nasihat daripada Jawi dan menambah tiada jangka masa yang ditetapkan untuk mengadakan pertemuan tersebut. – 21 Januari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget