KL CHRONICLE: #DemiRakyat , SPAD Tingkatkan Perkhidmatan Bas Awam di Seremban dan Kangar

Tuesday, January 27, 2015

#DemiRakyat , SPAD Tingkatkan Perkhidmatan Bas Awam di Seremban dan Kangar



#KLChronicle says : Kami di #KLChronicle menyambut baik langkah proaktif yang diambil SPAD untuk menaikkan mutu pengangkutan awam darat antara kawasan bandar dan luar bandar. Menyedari bahawa terdapat "gap" dalam operasi pengangkutan awam antara bandar dan luar bandar, SPAD melalui pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar telah terpaksa mengambil langkah yang dilihat drastic ini bagi menjaga kebajikann rakyat. Diharap pada masa akan datang SPAD akan terus kekal sikap proaktif ini sejajar dengan azam Perdana Menteri untuk jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pengangkutan awam darat antara yang terbaik di dunia.

Kenyataan Penuh SPAD boleh dibaca disini:



(SPAD) telah memeterai perjanjian dengan Cityliner Sdn Bhd dan MARA Liner Sdn  Bhd untuk memperkenalkan konsep baru perkhidmatan bas henti-henti yang berasaskan konsep ‘network planning’ bagi Seremban dan Kangar menerusi skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (‘SBST’). Dengan perlaksanaan skim ini  rakyat akan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap dan boleh dipercayai.



Skim ini akan dilancarkan pada bulan April bagi Seremban, manakala Perlis pada bulan Jun 2015. Skim ini juga dijangka akan diperkenalkan di Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.

Projek bernilai RM100 juta yang melibatkan lima ibu negeri ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Projek ini akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan bas di kelima-lima bandar di mana bas henti-henti akan menjadi  tunjang kepada sistem perkhidmatan awam. 

Menjelang 2020, projek ini dengan kerjasama rapat kerajaan negeri akan dilaksanakan di kesemua daerah di seluruh SPAD diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif, En. Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. Pengarah Eksekutif Cityliner, Tengku Mohd Hasmadi Tengku Hasim dan Pengarah MARA Liner, Puan Rohayah Mohd Zain telah memeterai perjanjian bagi pihak Cityliner dan MARA Liner.

Pengguna pengangkutan awam di Seremban dan Perlis akan menikmati peningkatan dalam rangkaian perhubungan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai ke kawasan utama seperti pusat komersil, kawasan perumahan serta sekolah-sekolah dan  kolej. Projek ini menintegrasikan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas express dan perkhidmatan rel.

Di Seremban, liputan rangkaian bas akan ditingkatkan kepada 601 km daripada 343 km, dengan bilangan laluan yang ditambah kepada 24 laluan daripada 19. Di Kangar, liputan akan ditingkatkan kepada 337 km daripada 124 km manakala  bilangan laluan akan ditambah kepada 15 daripada 7. 

Syed Hamid berkata, “Perkhidmatan bas henti-henti merupakan pengangkutan  yang penting untuk rakyat di luar kawasan Lembah Klang. Industri bas henti-henti telah mengalami beberapa masalah struktur yang menjejaskan kemampanannya sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam.

“Oleh yang demikian, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti SPAD bertujuan untuk membantu mengekalkan perkhidmatan bas henti-henti. Pada masa yang sama, perkhidmatan ini akan menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar, kampung ke bandar dengan jadual masa perjalanan bas yang ditetapkan agar dapat membantu penduduk setempat bergerak ke tempat kerja, sekolah dan hospital. Ini seterusnya akan meningkatkan kualiti kehidupan dan produktiviti.”

“Semasa kita merancang rangkaian bas, kita menetapkan laluan, waktu operasi serta kekerapan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat akibat proses urbanisasi di negeri-negeri ini. Kita juga memastikan tidak akan ada pertindihan laluan untuk memastikan rangkaian ini meliputi semua kawasan dan boleh diakses oleh 80% daripada penduduk,” tambahnya lagi.

Di bawah modal perniagaan baru untuk perkhidmatan bas henti-henti ini, SPAD sebagai pihak perancangan pengangkutan awam darat, akan bertanggungjawab dalam menentukan liputan perkhidmatan bas, kos operasi dan akan menerima tambang yang dikutip. 

Sementara itu, pengendali laluan akan dibayar kadar per km setiap kenderaan, dan perlu mematuhi mutu tahap perkhidmatan yang telah dipersetujui.

“Modal baru ini turut memperkenalkan KPI yang ketat seperti ketepatan masa, perkhidmatan yang boleh dipercayai, spesifikasi kenderaan, dan kepuasan pengguna, yang mesti dipatuhi oleh pengendali laluan. Sekiranya mereka gagal mencapai KPI yang dipersetujui, denda akan dikenakan,” kata Mohd Nur Ismal. 

Tambahnya lagi, SPAD akan memantau perkhidmatan pengendali laluan dengan ketat. Maklumat perkhidmatan bas seperti frekuensi perjalanan, masa beroperasi dan  jumlah penumpang akan dipantau dengan bantuan Sistem Posisi Global (GPS) dan  laporan penilaian oleh pegawai SPAD.

Mohd Nur Ismal juga berkata, “SPAD mementingkan peningkatan hubungan dan  kebolehpercayaan perkhidmatan bas bagi rakyat. Di bawah program baru ini, pengendali laluan kini boleh memberikan perhatian yang sepenuhnya dalam mempertingkatkan kualiti serta perkhidmatan yang boleh dipercayai. Mereka tidak perlu lagi bergantung kepada kutipan tambang untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Tambahan pula, terdapat faktor insentif untuk menggalakkan pengendali laluan  meningkatkan jumlah penumpang agar menjana pendapatan yang lebih. Insentif yang diberikan adalah satu peratus daripada kutipan tambang bagi peningkatan lima peratus atau lebih, bagi peningkatan jumlah penumpang dan pendapatan untuk setiap laluan.”

SPAD juga bercadang untuk memperkenalkan sistem kad prabayar untuk pengguna  perkhidmatan bas sebagai langkah pertama untuk memastikan perjalanan yang lancar. Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti bertujuan untuk memastikan rakyat mampu menggunakan perkhidmatan bas dan juga bagi menyediakan perkhidmatan yang mampan. 

Program ini dalam jangka masa panjang  bertujuan meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam dengan memastikan rakyat mempunyai akses yang optimum kepada pengangkutan awam darat.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget