KL CHRONICLE: @AirAsia: 3 lagi mayat dikenal pasti identiti

Saturday, January 3, 2015

@AirAsia: 3 lagi mayat dikenal pasti identiti

Keranda membawa jenazah mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui di laut diangkat sebelum dihantar ke Surabaya dari pangkalan tentera di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, semalam. – Gambar Reuters, 3 Januari, 2015.


Pasukan Pengenalpasti Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI Polri) semalam mengesahkan 3 lagi mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dikenal pasti
identiti mereka termasuk seorang krew penerbangan.



Mereka ialah Grayson Herbert Linaksita (lelaki), Kevin Alexander Sutjipto (lelaki) dan Khairunisa Haidar Fauzi, pramugari yang berkhidmat dengan AirAsia Indonesia sejak 28 Januari 2013.

AirAsia Indonesia dalam satu kenyataan berkata setakat ini, pasukan DVI Polri membuat pengecaman 4 mayat mangsa QZ8501.

Sejumlah 22 mayat penumpang QZ8501 ditemui, kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penyerahan mayat kepada keluarga mangsa dijalankan semalam di Hospital Bhayangkara, Surabaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes bersama Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko berlepas ke Palembang semalam untuk menyerahkan jenazah Khairunisa kepada keluarganya dan menghadiri upacara pengebumian.

AirAsia menggesa orang ramai yang ingin mengetahui perkembangan mengenai operasi mencari dan pemindahan mangsa QZ8501 supaya merujuk hanya kepada maklumat rasmi daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional.

"Doa dan harapan kami sentiasa bersama keluarga dan rakan penumpang dan rakan pesawat QZ8501," kata kenyataan itu.

Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501, hilang daripada imbasan radar pada 28 Disember lepas semasa dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal. – Bernama, 3 Januari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget