KL CHRONICLE: Umno, PAS Kelantan diseru bentuk kerajaan campuran hadapi pasca banjir

Wednesday, December 31, 2014

Umno, PAS Kelantan diseru bentuk kerajaan campuran hadapi pasca banjir

Sudah masanya UMNO & PAS bersatu

Pengasas Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menyeru kepimpinan PAS dan Umno di Kelantan membentuk kerajaan campuran dan mengetepikan politik mereka demi memastikan rakyat Kelantan mampu bangkit menghadapi situasi selepas banjir yang meranapkan kediaman dan harta benda mereka.

Dalam wawancara eksklusif bersama akhbar terbitan syarikatnya, Sinar Harian, Hussamuddin berkata, rakyat Kelantan sudah terlalu lama terhimpit dalam pertembungan ideologi dua parti politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS di negeri itu.



Beliau berkata, hanya melalui pembentukan kerajaan campuran, usaha membangunkan kembali Kelantan akan mejadi lebih mudah setelah dilanda banjir besar yang mengorbankan 14 nyawa dengan empat lagi masih hilang di negeri yang ditadbir PAS itu.


 "Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan tersepit sehingga kita terpaksa berhijrah disebabkan pertelingkahan antara dua kerajaan. Jadi saya rasa untuk pulihkan Kelantan bagi jangka masa pendek dan panjang, perlu sebuah kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Ppsat yang betul-betul jujur.
"Maknanya, kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama erat dalam erti kata yang sebenar kerana kita mahu semua perkara yang dirancang berjalan lancar. Dengan hubungan sekarang seperti yang kita lihat pada rekod lepas, setakat kerjasama saja tidak akan jadi (tidak mencapai matlamat) dan rakyat Kelantan akan sengsara," kata Hussammudin, dipetik daripada laporan akhbar berkenaan.

Sebagai anak jati Kelantan, beliau berpendapat, sudah cukup rakyat Kelantan menderita kerana perbezaan ideologi politik dan mereka mahu melihat Umno bersama-sama PAS membentuk kerajaan campuran bagi membangunkan semula negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Sudah 40 tahun orang Kelantan menderita kerana PAS dan Umno asyik berpolitik.

"Jadi sekarang sudah sampai masa pemimpin PAS dan Umno, saya tidak bercakap di peringkat pusat, tetapi di peringkat negeri Kelantan, mereka perlu berhenti berpolitik, demi rakyat, untuk bangunkan balik Kelantan," katanya.

Beliau berkata, banjir yang melanda negeri itu juga adalah yang paling besar pernah diingatinya dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Umur saya 60 tahun. Sebagai anak Kelantan, saya rasa ini paling teruk sepanjang memori saya. Tak pernah seingat saya sampai tiga tingkat bangunan tenggelam.

"Selepas ini, apabila air surut, kita akan tengok rumah, perabot, semua harta rosak. Kerosakan yang akan kita lihat selepas ini amat luar biasa. Saya bukan hendak perkecilkan kerajaan Kelantan, tetapi saya rasa mereka tidak mampu hendak kendalikan semua ini," katanya.

Sehubungan itu, Hussamuddin berkata, rakyat Kelanan memerlukan bantuan kuasa yang besar dan mutlak bagi membantu mereka bangkit semula seperti keadaan sebelum banjir melanda negeri itu.

"Dulu semua perkara tidak lancar di Kelantan kerana hubungan tidak baik antara kerajaan persekutuan dan negeri, tetapi orang Kelantan boleh hidup walaupun negeri mundur.

"Tetapi sekarang harta mereka, perniagaan semua sudah rosak, ranap, punah. Jadi mereka perlukan bantuan daripada satu pihak yang betul-betul mempunyai kuasa yang jelas dan mutlak. Itu sebab saya rasakan sudah sampai masanya untuk kerjasama ini," katanya.

Pihaknya juga mencadangkan diadakan "gencatan politik" PAS dan Umno, sekurang-kurangnya selama 2 tahun bagi membolehkan usaha memulihkan keadaan di Kelantan seperti sediakala berjaya.

"Saya percaya ramai rakyat Kelantan tidk berani bersuara tetapi saya akan bersuara bagi pihak mereka. Umno Kelantan dan PAS Kelantan harus bergabung dalam sebuah kerajaan campuran untuk mengendalikan krisis ini, sekurang-kurangnya untuk 2 tahun. Kita adakan moratorium, gencatan politik.

"Kalau bekerjasama saja tidak jadi, mesti akan bergaduh juga. Sekarang Umno Kelantan dan PAS Kelantan harus bergabung dalam satu kerajaan campuran untuk pulihkan kembali negeri. Tidak ada jalan lain lagi," katanya. – 31 Disember, 2014.

2 comments:

raismazzadam said...

Tengok la BETAPA KOTOR LAGI JIJIK NYA ORANG POLITIK...HIDUP HANYA PENTINGKAN DIRI SENDIRI...YG JADI MANGSA RAKYAT...MCM HARAM KAN...

Unknown said...

Yg jdi masalahnya bkn dipihak Umno ttpi PAS. DENDAM dn perasaan BENCI Nik Aziz trhdp Umno & BN terlalu terlalu tebal. Bgi pihak Umno sikit pn tiada masalah.. sepatutnya Dr. Hussamuddin pergi memujuk TGNAziz supaya buang terus dendam kesumat beliau terhadap Umno & BN...

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget