KL CHRONICLE: SPAD Akan Usaha Sambung Semula Perkhidmatan Awam di Pantai Timur @MyBanjir #MyBanjir

Tuesday, December 30, 2014

SPAD Akan Usaha Sambung Semula Perkhidmatan Awam di Pantai Timur @MyBanjir #MyBanjir

Banjir di Stesen KTMB Gemas
#KLChronicle : Kami mengucapkan terima kasih kepada SPAD yang prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir di Pantai Timur. Umum ketahui antara pengangkutan awam utama yang terlibat adalah tren KTMB yang telah berhenti dari beroperasi akibat kerosakan infrastruktur sehingga membahayakan penumpang jika perkhidmatan ini diteruskan. Namun usaha SPAD, terutamanya Tan Sri Syed Hamid Albar yang mahu menyelesaikan masalah ini amat dihargai dan kami di #KLChronicle ingin mengucapkan berbanyak terima kasih. 

SPAD AKAN BERUSAHA UNTUK MENYAMBUNG SEMULA PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM DI LALUAN PANTAI TIMUR YANG TERGENDALA EKORAN BANJIR

Berikutan dengan bencana banjir yang telah melanda negara ini terutamanya di kawasan Pantai Timur, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut  bersimpati dengan mangsa dan keluarga yang terlibat.


Pada masa yang sama, SPAD akan terus berusaha untuk menyambungkan semula perkhidmatan pengangkutan awam yang terjejas bagi laluan Pantai Timur dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan.



Sehingga kini, bencana banjir ini telah menyebabkan infrastruktur landasan keretapi mengalami kerosakan yang amat teruk.

Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan bila perkhidmatan tren KTMB di sektor Pantai Timur akan pulih seperti biasa disebabkan kerosakan infrastruktur yang terlibat masih belum dapat diakses sepenuhnya.

SPAD dan pihak KTMB sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengenal pasti kerosakan yang berlaku dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membaiki kerosakan-kerosakan tersebut untuk memastikan proses penyambungan semula perkhidmatan di laluan ini berjalan dengan cepat dan lancar.

Memandangkan kerugian yang ditanggung oleh KTMB telah menelan jutaan ringgit, SPAD akan meneliti segala aspek yang terlibat termasuklah juga saluran sumber dana yang berpotensi digunakan oleh SPAD sebagai pihak yang berkuasa ke atas pengangkutan awam darat untuk membiayai keperluan perbelanjaan memperbaiki kerosakan infrastruktur bagi laluan Pantai Timur yang terjejas.

Manakala, bagi perkhidmatan bas eskpres laluan Pantai Timur pula, perkhidmatan telah mula dihentikan pada 24hb Disember bagi beberapa laluan daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan kemudiannya telah dihentikan sepenuhnya pada 26hb Disember bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Bahru dan Terengganu.

Walaubagaimanapun, laluan Kuala Lumpur ke Kuala Terenganu masih dibuka melalui Seremban dan Muadzam Shah.

SPAD telah membenarkan Pengusaha bas ekspres untuk menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi yang dituju.

Untuk makluman, perkhidmatan kereta sewa di bandar-bandar di Kelantan dan Terenganu telah juga terjejas.

Perkhidmatan kereta sewa dan bas ekspres ini akan hanya disambung semula bergantung kepada keadaan cuaca di setiap laluan yang terlibat.

SPAD ingin mengambil peluang untuk mengingatkan semua pengusaha untuk senantiasa mengutamakan keselamatan diri dan penumpang semasa perjalanan.

Penumpang pula diminta untuk mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan makluman yang diberikan oleh pengusaha dari masa ke semasa.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget