KL CHRONICLE: @LimKitSiang Merajuk, Kini Kata Nak Boikot Meeting PR Pulak Dah

Wednesday, December 24, 2014

@LimKitSiang Merajuk, Kini Kata Nak Boikot Meeting PR Pulak Dah


Krisis Pakatan (PR) semakin meruncing, Ketua Pembangkang DAP di Parlimen Lim Kit Siang memberi amaran untuk memboikot mesyuarat gabungan tersebut pada masa depan jika kerajaan PAS Kelantan meneruskan pelaksanaan hukum hudud.



Lim memberi ancaman tersebut jika PAS meluluskan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas pada 29 Disember nanti.

"Tidak ada guna untuk saya menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR jika PAS meneruskan pelaksanaan hudud dalam sidang khas pada 29 Disember ini," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim sekali lagi mengulangi pendirian mengatakan pelaksanaan hudud bukan konsensus bersama dalam PR dan tidak pernah dibincangkan.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merujuk atau membincangkan mengenai enakmen pelaksanaan hudud dengan Jawatankuasa Pusat parti tersebut.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad mengesahkan perkara malah berkata ia juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat terakhir pada 15 Disember baru-baru ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut juga senada dengan Khalid dengan mengatakan PAS tidak pernah membawa isu hudud dibincangkan dalam mesyuarat PR.

"PAS tidak pernah membawa isu ini dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR," katanya.

Lim juga tidak melihat PAS akan terus menerima sokongan dalam pilihan raya akan datang jika mereka mengkhianati permuafakatan dalam PR sendiri.

"Saya tidak lihat persidangan khas DUN Kelantan pada 29 Disember boleh menjamin PAS akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang, tetapi yang menjadi korban adalah hilang negeri Kelantan dan Putrajaya kerana memungkiri janji kepada pengundi PR dan rakyat Malaysia.

"Kita perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 untuk melihat akibatnya," kata Lim.

Pengumuman kerajaan Kelantan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 mencetuskan pelbagai reaksi, dengan DAP antara paling lantang membidas langkah tersebut.

DAP berkata tindakan PAS itu seperti melanggar tahaluf siyasi yang dipersetujui PR.

Tindakan kerajaan Kelantan itu menyebabkan hubungan antara parti dalam PR retak khususnya ketika berlaku krisis menteri besar Selangor. – 24 Disember, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget