KL CHRONICLE: Tahniah!! PRASARANA raih Makkah Metro, kalahkan operator rel bertaraf dunia @NajibRazak @ShahrilMokhtar

Thursday, November 27, 2014

Tahniah!! PRASARANA raih Makkah Metro, kalahkan operator rel bertaraf dunia @NajibRazak @ShahrilMokhtar

Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Dato Sri Shahril Mokhtar (kedua dari kanan) berjabat tangan dengan Dr Saad Al Gadhi, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Rel Transit Massa Makkah (Makkah Mass Rail Transit Company) dan Pengarah Urusan Metro Program Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Public Transport Program Metro) untuk menandakan termeterainya rundingan di antara kedua pihak.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pemilik dan pengendali sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam terkemuka negara, memenangi bida sebagai “Pengendali Bayangan” Fasa Pertama Metro Program Pengangkutan Awam Makkah (Makkah Metro), mengalahkan saingan daripada Turki dan Korea, antaranya.



Mengumumkan kejayaan tersebut dalam satu kenyataan media pada hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkata kemenangan itu yang merupakan kejayaan pertama Kumpulan tersebut di peringkat global sejak ia memasuki pasaran antarabangsa pada awal tahun lepas. Ia membuktikan bahawa Prasarana setaraf dengan sebilangan pengendali rel
terbaik di dunia

“Selain memacu kami untuk mendekati wawasan kami sebagai pengendali pilihan sistem pengangkutan awam massa bertaraf dunia, kejayaan tersebut mengukuhkan peluang kami untuk memenangi bida akan datang untuk kerja-kerja Pengendalian dan Penyelenggaraan empat laluan Makkah Metro, di samping kerja-kerja Pengendalian dan Penyelenggaraan projek Aliran Selatan Metro Al- Mashaaer Al Mugaddassah yang menampung jutaan ummah semasa musim Haji setiap tahun,” kata Shahril.

Semasa musim Haji yang lepas, Prasarana mengutuskan 12 kakitangan teknikal daripada Rapid Rail Sdn Bhd untuk bekerjasama dengan anggota daripada Ekpress Rail Link Sdn Bhd untuk menyokong sementara operasi Aliran Selatan Metro Al- Mashaaer Al Mugaddassah.
Gambar : Makkah Metro yang kini beroperasi di Saudi Arabia
Berkongsi tanggungjawab sebagai “Pengendali Bayangan” untuk Fasa Pertama Makkah Metro, Shahril berkata Prasarana akan bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan perundingan dalam bidang Pengendalian dan Penyelenggaraan sisterm rel kepada Syarikat Transit Rel Massa Makkah semasa pembinaan Fasa Pertama Makkah Metro yang meliputi dua jajaran dengan 22 stesen di sepanjang 45.1km jarak perjalanan termasuk 24.9km rangkaian rel bawah tanah.

“Kami akan bertanggungjawab untuk menjalani tinjaun lakaran awal dan lakaran terperinci selain merangka spesifikasi dan perjanjian perkhidmatan untuk kontraktor masa depan.

“Kami turut menyokong dan memberi nasihat kepada pelanggan kami dalam merangka strategi keselamatan dan sekuriti serta peraturan-peraturan di samping berkongsi amalan terbaik untuk pengendalian metro,” kata Shahril.

Beliau menambah Prasarana turut akan merangka budaya perkhidmatan di organisasi pelanggan dalam tempoh kontrak 30 bulan tersebut.

“Kami berbangga untuk berkongsi bahawa kesemua pakar yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan perundingan ini akan terdiri daripada warga Prasarana,” kata Shahril.

Kontrak bernilai RM9 juta itu dijangka bermula pada Disember ini. Fasa pertama Makkah Metro dijangka siap pada 2019.

“Dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh Kumpulan untuk meningkat dan mempelbagaikan hasil pendapatannya, Prasarana berada di arus yang betul untuk menjadi sebuah organisasi yang bukan sahaja berupaya mengendali dan menyelenggarakan aset berbilion Ringgit, malah berupaya untuk merealisasikan peluang perniagaan di peringkat global. Ini akan membantu menambah pendapatan syarikat dan mengurangkan secara beransur-ansur kebergantungan terhadap pendapatan tradisional yang berunsurkan tambang.

“Kami dijangka akan menempuh satu tahun yang amat memberangsangkan. Di samping menyokong projek Makkah Metro di luar negeri, kami akan menumpukan perhatian untuk menyiapkan projek BRT-Laluan Sunway pada pertengahan 2015 di samping kerja-kerja penyambungan jajaran Laluan LRT, serta membuat persiapan untuk mengendalikan perkhidmatan Laluan MRT SBK,” tambah Shahril.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget