KL CHRONICLE: @mpkotabelud : Pengurusan Sisa Pepejal Negara Akan Ditambah Baik

Tuesday, November 25, 2014

@mpkotabelud : Pengurusan Sisa Pepejal Negara Akan Ditambah Baik



Kerajaan bercadang mengasingkan bil pengurusan sisa pepejal daripada cukai pintu bagi menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal di negara ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan (gambar).

Beliau berkata kementeriannya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung perancangan itu.



"Jika bil pengurusan sisa pepejal diasingkan daripada cukai pintu, maka hasil daripada pungutan bil itu akan digunakan khusus untuk menguruskan sisa pepejal secara teratur dan berkesan," katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.

Ruang pameran syarikat berkaitan kerajaan, kementerian, syarikat swasta dan agensi kerajaan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno bermula hari ini sehingga Sabtu.

Katanya bil pengurusan sisa pepejal kini dikutip bersama cukai pintu bagi membiayai kos penyelenggaraan bandar seperti kos mengangkut sampah, membersihkan longkang, mengindahkan landskap, membayar bil lampu jalan dan menyelenggara lampu isyarat.

"Kajian mengenai pengasingan bil  dijalankan bagi mengenal pasti jumlah peruntukan yang digunakan PBT untuk menguruskan sisa pepejal. Jika pengasingan bil dimuktamadkan kelak, maka kadar pembayaran cukai pintu akan diturunkan," kata Rahman.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang meneliti perancangan mewujudkan pusat kompos sisa makanan menggunakan 'melin composting machine' dari Korea dan pusat 'anaerobic digestion' bagi menghasilkan baja daripada sisa makanan serta mengurangkan pembaziran.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan pengurusan sisa pepejal bergantung kepada kesedaran masyarakat dengan mengamalkan aktiviti 3R (pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula) dalam kehidupan seharian.

Katanya kerajaan terpaksa mewujudkan lebih banyak tempat pelupusan sisa dan insinerator bagi menguruskan sisa pepejal serta sampah harian secara sistematik jika masyarakat tidak mengamalkan 3R.

Justeru, bagi menggalakkan amalan 3R dalam kalangan masyarakat, Rahman berkata kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan premis komersial dan institusi mematuhi peraturan berkaitan pengurusan sisa makanan.

"PPSPPA turut menggunakan pendekatan C3E (Communicate, Education & Engage) untuk mentransformasikan minda masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan dan keindahan persekitaran," katanya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget