KL CHRONICLE: Kerajaan Selangor Buat U-Turn, Tidak ada lagi jawatan PBT untuk orang Awam

Wednesday, October 15, 2014

Kerajaan Selangor Buat U-Turn, Tidak ada lagi jawatan PBT untuk orang Awam



Kerajaan negeri Selangor hari ini membuat U-Turn dan membatalkan tawaran kekosongan jawatan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada orang awam selepas pentadbiran bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berakhir dan digantikan dengan Mohamed Azmin Ali.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Ean Yong Hian Wah berkata, tawaran terbuka melalui iklan akhbar itu dibatalkan dan hanya dibuat melalui pelantikan sahaja.



"Kelulusan dibuat sebelum ini dibatalkan. Mereka pernah buat satu keputusan dalam exco bahawa kekosongan ini diiklankan dalam suratkhabar untuk orang ramai buat permohonan," katanya kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini merujuk kepada keputusan dibuat Khalid bersama empat exco PAS yang kekal bersamanya pada Ogos.

"(Jadi) tidak ada pelantikan melalui iklan suratkhabar."

Khalid pada 14 Ogos lalu membuat keputusan mengiklankan kekosongan baki 51 ahli majlis, melibatkan keseluruhan 12 PBT dan dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Khalid dilaporkan berkata kekosongan itu dibuka kepada golongan profesional dan aktivis masyarakat yang mahu menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan negeri dan akan mengiklankan tawaran itu di beberapa akhbar utama.

Keputusan itu dibuat Khalid dua hari selepas memecat enam exco DAP dan PKR pada 12 Ogos lalu, dan mentadbir sebagai menteri besar tanpa parti bersama empat exco PAS.

Ean turut mengumumkan pelantikan 23 ahli majlis baru daripada PKR hanya akan berkhidmat selama dua bulan sahaja memandangkan penggal mereka akan berakhir hujung tahun ini.

Katanya, tempoh khidmat ahli majlis PKR hanya setahun sahaja, seperti yang diputuskan PKR, dan akan membuat pelantikan untuk penggal baru tahun depan.

Manakala ahli majlis daripada PAS dan DAP, tempoh penggal khidmat mereka adalah selama dua tahun. – 15 Oktober, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget