KL CHRONICLE: Al-Fatihah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah Meninggal Dunia

Tuesday, October 14, 2014

Al-Fatihah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah Meninggal Dunia





Timbalan Ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Izzat Mohd Shauki, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar malam tadi.
    
Ahmad Izzat, 34, yang merupakan bekas ADUN Bukit Lada dan bekas Timbalan Speaker DUN Negeri Kedah dari 2008 hingga 2013, meninggal dunia pada 11.10 malam tadi akibat serangan strok dan penyakit kencing manis.


    
Jenazah Allahyarham dibawa balik ke rumah ibunya di Batu 2 Lebuhraya Sultan Abd Halim di Alor Setar pagi ini sebelum dibawa ke Masjid Derga, untuk solat jenazah.
    
Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah Ahmad Yahya berkata solat jenazah kali kedua dilakukan di Masjid Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena kira-kira 11 pagi.
    
"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Muassasah Darul Ulum, bersebelahan pusara bekas Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak," katanya.

Pada 20 September lepas, Allahyarham dikejarkan ke HSB apabila rebah secara tiba-tiba ketika mendirikan solat Maghrib. Allahyarham kemudian menjalani pembedahan berikutan terdapat darah beku di bahagian otaknya akibat pendarahan.
    
Pembedahan itu dilakukan untuk membuang sebahagian tempurung kepala Allahyarham, selain doktor mengesahkan beliau turut mengalami jangkitan kuman pada bahagian kanan paru-paru, dan disahkan mengalami 'minor stroke'.
    
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak, iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara tiga dan 10 tahun.   
    
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham Ahmad Izzat memenangi kerusi DUN Bukit Lada menewaskan calon BN Datuk Ariffin Man dengan majoriti 208 undi, setelah mendapat 9,600 undi berbanding Ariffin 9,392 undi.
    
Beliau gagal mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, setelah tewas kepada Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mewakili BN dengan majoriti 1,324 undi. Ahmad memperoleh 12,664 undi manakala Allahyarham mendapat 11,340 undi.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget