KL CHRONICLE: PKR Masih Degil, Kini mohon mengadap Sultan Selangor, Kekal Mahu Wan Azizah Jadi MB

Friday, September 19, 2014

PKR Masih Degil, Kini mohon mengadap Sultan Selangor, Kekal Mahu Wan Azizah Jadi MB


Walaupun sudah ditegur sebanyak tiga kali oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, PKR mengambil keputusan memohon mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Wan Azizah sebagai Menteri Besar dan menolak cadangan serta nasihat DYMM Sultan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail malam ini, beliau berkata keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Biro Politik PKR yang dihadiri semua pimpinan kanan hari ini.



"PKR mengambil pendirian kedudukan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor seperti yang ternyata sebelumnya menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berubah.

"Oleh demikian, PKR merafak sembah memohon limpah perkenan Tuanku untuk mengadap bagi mendapatkan nasihat dan ihsan Tuanku dalam keadaan sokongan majoriti adalah jelas dan tidak berubah," katanya dalam kenyataan itu.

Saifuddin berkata, mesyuarat itu diadakan lanjutan beberapa perkembangan terkini berhubung perlantikan menteri besar Selangor yang baharu.

Berikutan pengesahan istana semalam yang kad jemputan sudah mula diedarkan kepada beberapa pihak bagi menghadiri istiadat angkat sumpah menteri besar baharu itu, tersebar pula khabar angin mengatakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan dilantik bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi The Malaysian Insider enggan mendedahkan siapa yang akan dilantik sebagai menteri besar.

Kad jemputan yang diedarkan juga tidak mencatitkan nama menteri besar baharu yang akan mengangkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang pada pagi 23 September ini.

Pada masa sama terdapat juga suara yang mengatakan Sultan akan memilih calon daripada kalangan pemimpin PAS susulan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menghantar nama ahli PAS sebagai salah seorang calon menteri besar.

Pemerhati politik mengatakan sekiranya Azmin yang dilantik, situasi akan menjadi janggal kerana Adun Bukit Antarabangsa itu sebelum ini menyatakan sokongan penuhnya kepada Dr Wan Azizah.

Saifuddin dalam kenyataan itu turut mengatakan kononnya PKR akan terus menjunjung kedaulatan Sultan Selangor dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang dinaungi baginda.

Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini sepakat bersetuju Dr Wan Azizah calon paling layak mengambil alih jawatan menteri besar Selangor memandangkan beliau dikatakan mendapat sokongan majoriti 30 daripada 56 Adun Selangor.

Bagaimanapun, Sultan kemudiannya menitahkan setiap parti dalam PR menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon untuk pertimbangan baginda.

PKR dan DAP tetap berdegil dengan keputusan mereka dan menghantar hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah.

PAS bagaimanapun menghantar tiga nama, termasuk seorang calon daripada PAS walaupun parti itu sebelum ini beberapa kali mengatakan tidak akan menuntut kerusi menteri besar Selangor itu kerana ia milik PKR.

Sultan kemudiannya menegur dan melahirkan rasa kecewa baginda terhadap PKR dan DAP kerana kerana gagal akur titah baginda dan kedua-dua pemimpin parti itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kemudiannya "memohon ampun" daripada Sultan

Anwar juga mendakwa amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan merupakan konvensyen sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Bagaimanapun, Munir dalam satu kenyataan menafikan dakwaan ketua pembangkang itu dengan mengatakan ia satu pembohongan, tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

1 comment:

fahmy said...

Symptom panik pada tahap maksima

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget