KL CHRONICLE: MPPA akan buat laporan polis jurugambar ditumbuk

Tuesday, September 2, 2014

MPPA akan buat laporan polis jurugambar ditumbuk


Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) akan membuat laporan polis terhadap insiden jurugambar dikasari ketika membuat liputan kepulangan jenazah nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 pagi tadi.

Presiden MPPA Zainal Abdul Halim berkata, tindakan mengasari jurugambar adalah amat tidak berperikemanusiaan kerana mereka menjalankan tugas mengikut etika kewartawanan.



"MPPA akan membuat satu laporan polis juga berhubung kejadian tersebut sambil mengambil kira hak dan kepentingan keselamatan jurufoto semasa membuat liputan," kata Zainal kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur hari ini.


"Jurufoto dan pihak media bertugas boleh menerima budi bicara pihak keluarga sekiranya tidak membenarkan membuat liputan tetapi bukan cara mengasari keadaan sedemikian," katanya.

Jurugambar daripada Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Aizuddin Saad ditumbuk keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH17 ketika membuat liputan ketibaan penumpang pesawat berkenaan hari ini.

Aizuddin dipercayai ditumbuk ahli keluarga penumpang berkenaan di Nirvana Memorial Centre Sungai Besi sehingga mengakibatkan beliau mengalami kecederaan di bahagian hidung.

Rakaman video menunjukkan Aizuddin mengalami pendarahan di bahagian muka manakala kamera yang digunakannya mengalami kerosakan.

Insiden itu berlaku ketika mangsa sedang membuat liputan mendiang pasangan Paul Goes warganegara Belanda dan isterinya, Subashni Jretnam, serta anak mereka, Kaelamayajay Goes yang dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ahli keluarga mendiang itu dikatakan cuba menumbuk beberapa petugas media.

Aizudin kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi selepas mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Jurufoto akhbar Utusan Malaysia, Rushdi Salleh bagaimanapun sempat mengelak ketika insiden berkenaan berlaku. – 2 September, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget