KL CHRONICLE: Terbaik!! @nSurendrann masuk kandang tertuduh lagi hari ini

Thursday, August 28, 2014

Terbaik!! @nSurendrann masuk kandang tertuduh lagi hari ini



Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran masuk kandang tertuduh lagi atas dakwaan mengikut Akta Hasutan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di Kuala Lumpur, hari ini, menjadikan ia kes kedua terhadapnya dalam tempoh dua minggu.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.



Surendran, naib presiden PKR adalah ahli Parlimen pembangkang kedua yang dituduh di bawah akta hasutan hari ini.

Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli  didakwa kerana menghina ahli Umno melalui artikel yang disiarkan The Edge Malaysia di Mahkamah Sessyen Petaling Jaya.
Beliau juga tidak mengaku salah terhadap dakwaan itu.

Surendran yang diwakili pasukan peguam diketuai Oh Cheong Ghee didakwa berhubung dengan rakaman video YouTube bertarikh 8 Ogos apabila beliau membuat kenyataan rayuan Anwar Liwat II adalah konspirasi politik yang melibatkan Putrajaya.

Minggu lalu, beliau menghadapi tuduhan sama di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum 3 tahun penjara dan denda tidak melebihi RM5,000.

Majistret Ahmad Bachee membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 3 Oktober untuk pengurusan kes.

Sejak awal minggu ini, 5 pemimpin pembangkang diheret ke mahkamah kerana hasutan dan kesalahan lain berkaitan dan ia dilihat sebagai satu lagi cubaan Putrajaya mendiamkan musuh politiknya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad didakwa di bawah Akta Hasutan atas kenyataan yang didakwa dibuat terhadap Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) manakala di Pulau Pinang semalam, Adun Seri Delima RSN Rayer didakwa dengan 2 tuduhan hasutan ekoran kenyataan "Umno celaka" yang dibuatnya.

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS, turut didakwa awal minggu ini kerana memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan yang dibuatnya dua tahun lalu. – 28 Ogos, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget