KL CHRONICLE: Pakar Rel Syarikat PRASARANA Negara Berhad Sokong Operasi Haji di Mekah

Friday, August 1, 2014

Pakar Rel Syarikat PRASARANA Negara Berhad Sokong Operasi Haji di Mekah


Berbekalan amanat ‘kerja sebagai satu ibadah’ dan sentiasa menjulang nama baik perkhidmatan rel Malaysia, 40 tenaga mahir rel negara berlepas ke Mekah hari ini untuk menyokong perkhidmatan pengangkutan awam untuk jemaah haji musim ini di Arab Saudi. 




Dibekalkan oleh ERL dan Syarikat Prasarana Negara Berhad, tenaga mahir ini akan berkhidmat untuk perkhidmatan rel Makkah Metro, yang menyediakan perkhidmatan rel antara kota Mekah, Mina dan Mudzalifah untuk kemudahan Jemaah haji seluruh dunia.

Dianggarkan lebih dua juta umat Islam akan berhimpun di bandar suci Mekah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dan tidak kurang daripada 800,000 daripada mereka akan menggunakan perkhidmatan rel Makkah Metro untuk pergi ke bandar Mina dan Mudzalifah untuk urusan haji mereka. 

Menemui 12 kakitangan Prasarana di perkarangan KLIA sebelum berlepas, Pengarah Kumpulan Divisyen Rel Prasarana , Haji Khairani Mohamed memberi pesanan kepada anak-anak buahnya supaya  menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin.

“Anda adalah orang-orang bertuah untuk dipilih menunaikan tugas ini. Anda bakal membuat kerja yang amat mulia untuk membantu umat Islam seluruh dunia menunaikan Haji. Anda melakukan satu ibadat besar. Sentiasa niatkan kerja anda sebagai satu ibadat … Insyaallah, akan dikurniakan pahala besar daripada Allah swt.

“Anda semua juga berpeluang menunjukkan kepada dunia tentang keupayaan kita mengendalikan operasi rel. Hanya kita dan ERL dipilih oleh Makkah Metro untuk membantu operasi mereka. Ini adalah satu pengiktirafan besar kepada Malaysia dan Prasarana,” kata Haji Khairani, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd – anak syarikat Prasarana yang dipertanggungjawabkan menguruskan operasi relnya.

Dipilih daripada para pegawai dan kakitangan Rapid Rail daripada operasi LRT dan monorel, ini adalah tugasan pertama untuk Rapid Rail dan Prasarana selepas dipinta oleh ERL, yang telah melaksanakan tugasan menyokong operasi rel musim Haji sejak dua tahun lepas.

Setibanya di Mekah, mereka akan bertanggungjawab untuk melatih para pekerja tempatan untuk operasi rel, yang berjalan untuk hanya tujuh hari setahun untuk musim haji.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget