KL CHRONICLE: @LiowTiongLai : Ukraine tidak jamin keselamatan petugas #MH17

Monday, July 21, 2014

@LiowTiongLai : Ukraine tidak jamin keselamatan petugas #MH17


Kerajaan Ukraine tidak memberi jaminan keselamatan kepada pasukan antarabangsa yang mahu memasuki kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur negara itu, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menteri pengangkutan itu berkata, kerajaan Ukraine sudah memaklumkan kepada pasukan siasatan bersama antarabangsa kawasan nahas itu kini berada dalam pengawasan penuh puak pemisah.


"Satu-satunya badan antarabangsa yang berjaya memasuki ke kawasan nahas setakat ini ialah OSCE (Pertubuhan Kerjasama Dan Keselamatan Eropah). Kerajaan Ukraine memberitahu koridor selamat ke kawasan nahas bagi pasukan antarabangsa masih belum dapat dibentuk.

"Situasi itu pula diburukkan dengan laporan beberapa puak pemisah bersaing mahu mengawal kawasan nahas dengan tiada pimpinan atau arahan yang jelas," katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semua mangsa nahas perlu dibawa pulang ke Malaysia sebelum tibanya Aidilfitri pada Isnin depan.

Katanya, beliau giat berusaha mendesak pemimpin dunia supaya tidak membiarkan penjenayah terlepas tanpa dikenakan hukuman berat dan supaya mayat mangsa dapat dibawa pulang dalam masa terdekat.

"Kita hendak sebelum Raya ini, mangsa dapat dibawa keluar. Mereka yang sudah dikenal pasti indentitinya, kerajaan Malaysia akan membawa mereka pulang ke tanah air untuk disemadi di bumi Malaysia," katanya.

Liow berkata, seramai 133 petugas terdiri daripada pakar dalam bidang mencari dan menyelamat, forensik, teknikal dan perubatan berada di Kiev sejak Sabtu.

Katanya, satu pasukan siasatan bersama antarabangsa ditubuhkan terdiri daripada pihak penyiasat dari Belanda, Malaysia, Britain dan Amerika Syarikat.

"Malaysia mendesak agar diberi kebenaran untuk mencari, mengenal pasti dan membawa pulang mangsa nahas MH17.

"Berhubung komen pemimpin puak pemisah yang dikatakan memiliki kotak hitam, Malaysia menggesa bahan bukti penting itu tidak diganggu dan diserahkan kepada pasukan antarabangsa," katanya yang kini berada di Kiev.

Liow berkata, Malaysia juga menggesa agar kawasan nahas tidak diganggu gugat oleh pihak yang menguasai kawasan berkenaan.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara wilayah Donetsk di sempadan Rusia ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kejadian pada Khamis lalu itu menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, salah seorangnya dilaporkan nenek tiri kepada Najib dan sepupunya yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein iaitu Puan Sri Siti Amirah Prawira Kusuma.

Kumpulan pemberontak pro-Rusia, Donetsk People's Army dilaporkan mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut yang dikatakan tersilap tembak. – 21 Julai, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget