Karpal Singh: Rakan politik PAS |
Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh gagal memahami perjuangan Pas, kata Ketua Penerangan Pas Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ini ekoran daripada saranan Karpal yang menyatakan parti politik berteraskan kaum dan agama patut dibatalkan atau diubahsuai agar boleh disertai semua rakyat tanpa sempadan kaum dan agama semalam.
Selain dari menyatakan bahawa kenyataan Karpal itu tidak berasas, beliau turut bertanya apakah bahayanya perjuangan Pas bagi masyarakat majmuk di Malaysia.
“Nilailah sendiri pada Pas yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 dari segi perpaduan dan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim.
“Adakah ada golongan yang bukan Islam yang disisihkan? Karpal sepatutnya mengemukakan fakta, bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati beliau” katanya melalui satu siaran media.
Tuan Ibrahim menambah kenyataan seperti ini tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dalam suasana rakyat menolak Barisan Nasional (BN) dan mulai yakin dengan kepimpinan Pakatan Rakyat.
“Beliau sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam PR, Kami telah banyak bersabar,” tambahnya lagi.
Apabila dihubungi hari ini, Tuan Ibrahim ternyata kecewa dengan saranan Karpal itu.
“Memang tak patut la parti kawan sendiri (DAP) minta kita dibatalkan,” katanya melalui perbualan telefon.
Beliau turut mengingatkan yang sifat agama itu sendiri menjadikannya sesuai dalam konteks Malaysia.
“Agama ini bersifat penyatuan sebenarnya, bukannnya memisahkan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment